Saturday, February 25, 2017

Pegawai Korea Utara terima dokumen di pintu kedutaan

 | February 25, 2017
Sampul surat itu tertera perkataan Seri Paduka Baginda dengan cap lambang jata negara.
VIDEO INSIDE
docment_1
KUALA LUMPUR: Sekeping sampul surat berisi dokumen dipercayai dari Kementerian Luar Negeri diserahkan kepada wakil Kedutaan Korea Utara di sini kira-kira 1.10 tengah hari tadi oleh seorang lelaki tidak dikenali.

Lelaki yang memakai baju biru tanpa lengan dan bertopi hitam itu pada mulanya kelihatan merayau-rayau di sekitar kawasan kedutaan sambil membawa sampul surat besar dan apabila didekati pemberita yang bertanya mengenai sampul berkenaan, beliau hanya berdiam diri.

Kira-kira 10 minit sebelum itu, Kaunselor Kedutaan Korea Utara Kim Yu Song mengarahkan wakil media beredar kerana menurutnya ada kereta akan tiba di kedutaan itu untuk menghantar dokumen.

Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan pihak yang menghantar dokumen itu.
Yu Song bersama seorang individu kemudian kembali ke pintu pagar kedutaan yang masih tertutup sebelum didatangi individu berbaju biru itu untuk menyerahkan sampul surat tertera perkataan Seri Paduka Baginda dengan cap lambang jata negara kepada kaunselor itu.

Yu Song kemudiannya menandatangani sekeping kertas yang turut tertera perkataan Kementerian Luar Negeri.
Lelaki itu kemudiannya bergegas menaiki sebuah kereta Proton Preve yang sedang menunggu. Kereta tersebut mempunyai pelekat kereta Asean.
Yu Song enggan mengulas mengenai dokumen itu ketika ditanya pemberita.
Pengamal media berkumpul di kedutaan itu bagi membuat liputan kes pembunuhan Kim Jong Nam, abang pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un.

Pada 13 Februari lalu, Jong Nam yang berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) untuk menaiki penerbangan ke Macau, dihampiri 2 wanita yang menyapu muka mangsa dengan tapak tangan mereka dipercayai disembur bahan beracun.

Jong Nam yang memasuki negara ini pada 6 Februari lalu menggunakan pasport tertera nama Kim Chol, meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Putrajaya, sebelum mayatnya dibawa ke Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN), Hospital Kuala Lumpur.
Sumber: Youtube/ FMT

No comments:

Post a Comment