Sinar Harian
GUATEMALA CITY - GUATEMALA. Sekurang-kurangnya 19 remaja perempuan
rentung dalam kebakaran di pusat perlindungan mangsa dera, kata polis
Guatemala.
Sementara itu, media tempatan melaporkan berdozen-dozen penghuni lari menyelamatkan diri dari pusat yang penuh sesak itu.
Anggota keluarga berkumpul di luar pusat perlindungan Virgen de
Asuncion yang terletak di perbandaran San Jose Pinula kira-kira 15 batu
dari barat daya Bandar Guatemala dan pusat itu menempatkan remaja
perempuan sehingga usia 18 tahun.
Ketua polis Guatemala, Nery Ramos berkata, 19 mangsa disahkan maut di
tempat kejadian dan mayat mangsa ditemui bergelimpangan dengan
sebahagian anggota badan mangsa ditutupi selimut.
"Keadaan itu sangat menyentuh hati," kata Ramos sambil menambah
kebakaran dikatakan berpunca perbuatan sekumpulan remaja di pusat
perlindungan berkenaan.
Media tempatan melaporkan lebih 500 penghuni tinggal di pusat perlindungan yang hanya mampu menampung 400 penghuni sahaja.
Seorang jurucakap polis Guatemala memberitahu Reuters, 38 kanak-kanak
dihantar ke hospital kerana mengalami kecederaan dan ada mangsa melecur
teruk.
Ibu seorang daripada penghuni pusat Andrea Palomo memberitahu wartawan,
beliau menghantar anaknya berusia 15 tahun ke pusat perlindungan untuk
mendidik anaknya menjadi lebih berdisplin namun menurut anaknya mereka
didera dan ada kanak-kanak yang dipaksa membuat tatu.
Pusat berkenaan berada di bawah kendalian Kementerian Kebajikan Sosial
dan Peguam Negara memutuskan kanak-kanak mana yang perlu ditempatkan di
situ. - Bernama
No comments:
Post a Comment