Bekas guru sekolah dihadiri Sultan Muhammad V, yang
bakal ditabalkan sebagai Agong, menceritakan perwatakannya yang rendah
diri walaupun berketurunan diraja.
KOTA
BHARU: Sifat kepimpinan dan sikap terbuka Yang di-Pertuan Agong Sultan
Muhammad V jelas terserlah sejak di bangku sekolah lagi, menurut seorang
gurunya dari sekolah rendah.
Seman @ Kamarulzaman Hassan menceritakan bagaimana dia menegah
pengawal keselamatan yang cuba membantu baginda mengangkat meja dan
kerusi ketika belajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Sultan Ismail I di
sini.
“Saya menegah pengawal tersebut kerana ia merupakan satu bentuk
didikan kepada baginda dan Alhamdulillah, baginda dapat menuruti arahan
yang saya keluarkan,” kata Seman ketika di rumahnya di Kampung Lembah
Sireh, Kota Bharu.
Seman, 72, mengajar di sekolah itu pada 1976-1985.
Menurutnya, pertama kali baginda dihantar ke sekolah itu, bonda
baginda Tengku Anis membawa bersama rotan ketika berjumpa dengan guru
besar.
Seman berkata, Tengku Anis berpesan kepada guru besar agar merotan anakandanya itu jika melanggar arahan pihak sekolah.
“Saya juga sering menyelitkan nasihat dalam bentuk agama ketika
mendidik baginda dan rakan-rakannya dalam kelas kerana saya anggap
murid-murid sama seperti anak saya sendiri,” katanya.
Seman berkata baginda mempunyai sifat penyabar dan tidak berkonfrontasi dengan rakan-rakan sebaya.
“Jika marah kepada rakan-rakan, baginda tidak mengambil tindakan sendirian dan hanya berdiam diri,” katanya.
Sikap terbuka baginda, sekalipun berketurunan diraja, juga terlihat dalam menerima pendapat daripada rakan sebaya.
“Dari kecil lagi baginda sudah menunjukkan bakat kepimpinan dengan mengambil
pendekatan berbincang dengan rakan-rakan.
pendekatan berbincang dengan rakan-rakan.
“Baginda cemerlang dalam akademik dan aktif berpersatuan, dan pernah
dilantik sebagai Ketua Pengawas di sekolah berkenaan,” kata Seman.
Mengulas mengenai pencapaian baginda dalam bidang pelajaran dan
kokurikulum, Seman yang merupakan guru bagi mata pelajaran Sejarah dan
Geografi berkata baginda merupakan seorang yang fokus kepada
pembelajaran.
Baginda juga antara pelajar cemerlang yang mendapat keputusan 5A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), kata beliau.
“Baginda juga aktif berpersatuan, antaranya menyertai Persatuan Muzik,” katanya.
Seman yang kini lumpuh separuh badan akibat serangan angin ahmar
berkata baginda masih mengingatinya walaupun telah lama mereka tidak
bersua muka. Ini terjadi semasa banjir pada 2014.
“Ketika itu, kebetulan baginda sedang meninjau keadaan banjir di
sekitar Kota Bharu dan terserempak dengan anak saya yang bekerja sebagai
anggota bomba.
“Baginda bertanyakan khabar mengenai diri saya dan pada sebelah
malamnya sebuah pacuan 4 roda datang ke rumah dan menyerahkan bantuan
makanan yang dikirimkan baginda,” katanya.
Istiadat pertabalan Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V akan berlangsung di Balairung Seri, Istana Negara pada 24 April ini.
Sultan Muhammad V dipilih menjadi Yang di-Pertuan Agong ke-15
menggantikan Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah yang tamat tempoh
pemerintahan pada 12 Disember tahun lepas
FMT
No comments:
Post a Comment