Jururawat sebenarnya melarikan diri bersama bekas tunangnya, kata Ketua Polis Johor Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd
JOHOR BAHRU: Polis Johor hari ini menyangkal khabar angin mengenai
kejadian penculikan baru-baru ini yang kononnya melibatkan seorang
jururawat Hospital Sultanah Aminah (HSA), di sini.
Ketua Polis Johor Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd berkata
siasatan polis mendapati kejadian tersebut bukannya culik, sebaliknya
masalah peribadi.
“Kes yang tular di laman sosial itu bukanlah kes culik kerana kalau
kes culik, jururawat tersebut mestilah dilarikan tanpa kerelaan dan
penculik pula mesti membuat tuntutan wang tebusan dan sebagainya.
“Hasil siasatan polis mendapati jururawat berkenaan sebenarnya telah
melarikan diri bersama seorang lelaki yang dipercayai bekas tunangnya.
Keluarga kedua-dua belah pihak juga telah maklum mengenai perkara
tersebut dan pihak polis kini masih menjalankan siasatan untuk mengesan
mereka berdua,” katanya.
Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Kempen Derma Darah
bersempena Peringatan Hari Polis ke-210 Peringkat Kontinjen Johor, di
sini hari ini, beliau jururawat itu dan bekas tunangnya, masing-masing
berusia lingkungan 30-an, kini dipercayai sudah keluar dari negeri ini.
Beliau berkata polis sudah mengenal pasti identiti bekas tunang
jururawat berkenaan dan usaha sedang dilakukan bagi mengenal pasti sama
ada mereka sudah keluar dari negara ini.
“Kes ini tidak diklasifikasikan sebagai culik, ia lebih kepada
masalah di antara keluarga. Kita juga telah meminta bantuan daripada
kontinjen lain dan kalau berjaya ditahan, kita akan kenakan hukuman
berdasarkan kesalahan apa yang telah dilakukan,” jelasnya.
FMT
No comments:
Post a Comment