Pulau Pinang melabelkan ahli Parlimen Tasek Gelugor
sebagai “raksasa” apabila mencadangkan mangsa rogol patut berkahwin
dengan perogolnya.
GEORGE
TOWN: Pulau Pinang malu untuk mempunyai ahli Parlimen “raksasa” yang
membuat kenyataan mengenai mangsa rogol, kata Lim Guan Eng hari ini,
susulan Shabudin Yahya di Parlimen semalam mencadangkan mangsa
mengahwini perogolnya.
Ketua menteri Pulau Pinang itu berkata ahli majlis eksekutif negeri
hari ini melahirkan “kebimbangan dan marah” terhadap kenyataan ahli
Parlimen Tasek Gelugor, dan mendesak BN memecat atau memaksanya meletak
jawatan.
Lim berkata apa yang Shabudin cakap itu sangat menyinggung dan tidak menghormati semua wanita.
“Ini menunjukkan akhlak buruk dan pemikiran yang sakit. Jika BN ada
moral baik, kita patut pecat dia. Saya tidak boleh bayangkan manusia
jenis apa yang boleh buat begitu.
“Anda tidak menggalakkan rogol dengan buat begini? Jika itu
formulanya, bagaimana jika gadis itu menjadi mangsa rogol secara
berkumpulan? Anda nak dia kahwin semua sekali perogol itu?
“Senang saja dia cakap kerana bukan anak perempuan atau adik-beradik
dia. Orang Pulau Pinang tidak mahu raksasa seperti dia jadi wakil
rakyat, kita tidak ada belas kasihan dengan orang seperti ini,” katanya
pada sidang media di Komtar hari ini.
Shabudin di Dewan Rakyat semalam berkata tidak ada salahnya jika
mangsa berkahwin dengan perogolnya dan lebih baik untuk gadis itu kerana
kalau tidak masa depannya gelap.
Ramai pihak yang marah dengan komen Shabudin, malah Pengarah
Komunikasi Strategik BN Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata “ia tidak
boleh diterima”.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat
negeri Chong Eng juga mengutuk komen Shabudin, dan berkata ketua
pembangkang Jahara Hamid juga patut berbuat demikian.
Chong berkata Jahar perlu mengutuk kenyataan itu kerana Adun Umno
paling senior di Pulau Pinang dan seorang wanita, beliau perlu bersuara
menentang kenyataan Shabudin.
“Saya mahu beliau menyatakan pendirian mengenai isu ini. Saya harap
beliau akan menyertai kami untuk mendesak raksasa itu keluar dari Umno,”
kata Chong.
Sementara itu, Timbalan Ketua Menteri 1 Mohd Rashid Hasnon juga berkata kenyataan Shabudin itu terkeluar daripada norma Islam.
“Amat kesal apabila jalan penyelesaian masalah rogol dan kahwin
seperti itu dibuat oleh seseorang seperti Shabudin. Apa yang dicadangkan
itu hanya untuk menganiaya mangsa rogol,” kata Rashid.
FMT
No comments:
Post a Comment