Sinar Harian
5 April 2017
BIARPUN ramai jurulatih tempatan berminat menggantikan
posisi Ketua Jurulatih Kedah yang bakal ditinggalkan oleh Tan Cheng
Hoe, Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) mengakui sukar untuk mencari
penggantinya.
Setiausaha Kehormatnya, Datuk Aminuddin Omar mengakui sehingga kini
pihaknya belum lagi menyenaraikan calon-calon yang akan mengisi
kekosongan tersebut.
Jelasnya, isu tersebut sedikit-sebanyak mengganggu tumpuan kem
kejurulatihan Hijau Kuning yang kini dalam persediaan untuk menghadapi
perlawanan kesembilan Liga Super 2017 dengan menentang PKNS di Stadium
Darul Aman, Sabtu ini.
"Jika letak jawatan pun (jika perlu diteruskan) berilah masa kepada KFA
sekurang-kurangnya dua hingga tiga bulan, bukan senang nak cari
jurulatih yang sesuai dengan pemain dan keadaan pasukan sekarang ini.
Kita memerlukan penelitian yang rapi di dalam mencari pengganti kerana
ia bukan satu perkara yang mudah dan setakat ini kita masih belum
mempunyai senarai pengganti jurulatih sekiranya Cheng Hoe dilepaskan,"
katanya.
Menurut Aminuddin, penelitian sebaik mungkin perlu dilakukan oleh
pihaknya kerana bolasepak adalah sukan kegemaran yang mendapat perhatian
Istana terutamanya peminat nombor satu Hijau Kuning, Sultan Kedah
Tuanku Abdul Halim Mu'Adzam Shah dan seluruh rakyat di negeri ini.
Sentuhan Cheng Hoe mula jadi perhatian apabila berjaya melonjakkan
semula Kedah sebagai sebuah kuasa besar bolasepak tempatan malah kini
muncul pendahulu Liga Super 2017 selepas lapan perlawanan dan kini dalam
laluan selesa untuk mara ke Separuh Akhir Piala FA 2017 selepas menang
6-1 ke atas PKNP pada Suku Akhir Pertama.
Di bawah kendaliannya, Kedah muncul Juara Liga Perdana 2015, Juara
Piala Malaysia 2016 dan terbaru Juara Piala Sultan Ahmad Shah 2017.
No comments:
Post a Comment