SEKURANG-kurangnya 40 pegawai kastam dibuang kerja setiap tahun akibat terbabit dalam gejala rasuah.
Ini dinyatakan oleh Ketua Pengarah Kastam, Datuk T Subromaniam yang
menegaskan tidak teragak-agak akan terus mengenakan tindakan keras
terhadap mana-mana pegawainya yang didapati bersalah menerima suapan.
"Selepas dilantik ketua pengarah, saya telah mengemaskinikan pengurusan
Jabatan Kastam terutama dalam usaha membanteras gejala rasuah dan
penyelewengan. Saya mengakui terdapat kelemahan dari segi proses
penguatkuasaan dalam Jabatan Kastam.
"Bagaimana pun, saya akan cuba meneliti sistem dan proses ini agar
dapat mengesan mana-mana pegawai yang cuba mengambil kesempatan menerima
rasuah dan mana-mana individu yang cuba melakukan aktiviti
penyeludupan," kata Subromaniam ketika ditemu bual oleh Oriental Daily.
Menurut beliau, pihak kastam akan memastikan setiap barangan diimport
atau dieksport perlu mempunyai rekod yang jelas dan nama pegawai yang
bertanggungjawab meluluskan kemasukan dan pengeluaran barangan
berkenaan.
"Dalam Jabatan Kastam memang ada pegawai yang terbabit rasuah. Tetapi
itu hanya segelintir sahaja. Disebabkan 'epal busuk' inilah menyebabkan
nama kastam tercemar," ujarnya.
Katanya, Jabatan Kastam turut melakukan perubahan tempat bertugas
terhadap seseorang pegawai setiap tahun bagi melicinkan gerak kerja.
"Kami tidak akan membiarkan seseorang pegawai berada di sesuatu lokasi
yang sama untuk tempoh yang panjang. Sekiranya beliau ditugaskan selama
10 tahun di lokasi yang sama, beliau tentu akan rasa terlalu selesa di
situ," katanya.
Subromaniam, 58, yang sebelum ini memegang jawatan timbalan ketua
pengarah kastam (pematuhan/penguatkuasaan) dinaikkan pangkat sebagai
ketua pengarah kastam kira-kira dua bulan yang lalu bagi menggantikan
Datuk Seri Khazali.
Sinar Harian
No comments:
Post a Comment