Penasihat Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) Tan Sri Annuar Musa
meminta Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP)
membatalkan pemindahan bekas pemain importnya, Mohammed Ghaddar yang
berhijrah ke pasukan JDT memandangkan persatuan itu masih 'gagal'
memenuhi syarat-yarat ditetapkan badan tersebut.
Annuar berkata langkah itu harus diambil memandangkan FMLLP terus
mengenakan pelbagai syarat yang dilihatnya sebagai cubaan untuk
menggagalkan usaha Kafa membawa masuk seorang lagi pemain import baharu
Kelantan, Syedi L Imam bagi menggantikan Alessandro Padovani Celin yang
kurang cergas ketika ini.
"Semalam mereka beri alasan hasil perpindahan (Ghaddar) tak dibelanja
untuk selesai 'masalah' tanpa mereka siasat terlebih dahulu. Hari ini
lain pula ceritanya...kerana tidak melengkapkan dokumen pendaftaran
pula.
"Sekiranya (ada) sekatan yang belum Kafa lepas, sila batalkan
perpindahan Ghaddar kerana undang-undang mesti jelas dan konsisten,"
katanya menerusi laman sosial Facebooknya hari ini.
Sebelum ini, FMLLP dilaporkan bertegas tidak akan meluluskan
pendaftaran Syedi berikutan badan itu hanya menerima satu surat
permohonan daripada Kafa untuk seorang sahaja pemain luar negara yang
ingin didaftarkan bagi menyertai pasukan itu.
Malah pemain itu tidak boleh diluluskan pendaftarannya untuk beraksi
pada saingan Liga Malaysia kerana Kafa masih menghadapi sekatan
perpindahan berikutan isu-isu yang dihadapi persatuan tersebut berkaitan
pembayaran tunggakan gaji yang masih belum diselesaikan.
Annuar berkata FMLLP sebelum ini turut memberi alasan tindakan
menyekat penyertaan Syedi ke dalam pasukan Kelantan turut membabitkan
isu tunggakan gaji dan pendaftaran pemain hanya boleh dibenarkan jika ia
tidak melibatkan kos tambahan.
Beliau turut mempersoalkan jika FMLLP boleh menggunakan 'budi bicara'
terhadap persatuan tertentu, mengapa badan itu tidak boleh menggunakan
pendekatan sama terhadap Kelantan.
Katanya FMLLP mesti didisiplinkan jika masih gagal memberi sebarang
penjelasan yang kukuh berhubung kemelut yang berlaku membabitkan
Kafa dan badan itu.
-Bernama


No comments:
Post a Comment