Menteri pendidikan berkata kelulusan itu bagi tempoh
Januari hingga Jun tahun ini dengan 1,421 guru ditempatkan di sekolah
rendah dan 840 di sekolah menengah seluruh negara.
KUALA NERANG: Kementerian Pendidikan (KPM) meluluskan sebanyak 2,261
permohonan pertukaran kes “guru duka lara” daripada 6,636 keseluruhan
permohonan kategori itu.
Mereka akan mula berkhidmat di sekolah baharu bulan depan.
Menterinya Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata kelulusan itu adalah
bagi tempoh Januari hingga Jun tahun ini dengan seramai 1,421 guru akan
ditempatkan di sekolah rendah dan 840 lagi di sekolah menengah di
seluruh negara.
“Kita menerima 20,470 permohonan dalam tempoh itu dan daripada jumlah
itu sebanyak 2,825 diluluskan iaitu guru kategori kes ‘guru duka lara’
adalah tertinggi mendapat kelulusan iaitu 2,261 guru iaitu 34.1%,”
katanya pada sidang media di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Padang
Terap hari ini.
Beliau berkata selain kes “guru duka lara”, pertukaran atas alasan
tempoh perkhidmatan sebanyak 168 orang, permohonan bersama (166), sakit
kronik (37), ancaman keselamatan (15) dan lain-lain (178).
Mahdzir berkata, jumlah kelulusan permohonan penukaran bagi tempoh
ini tidak dibuat begitu ramai kerana mengambil kira keadaan guru-guru
dan pelajar yang menumpukan proses pengajaran dan pembelajaran.
“KPM ingin menjelaskan pertimbangan kelulusan pertukaran tersebut
mengambil kira kepentingan perkhidmatan, kekosongan perjawatan serta
keperluan opsyen selain mengambil kira kelas peperiksaan serta opsyen
kritikal seperti Bahasa Inggeris dan Pendidikan Islam di sekolah rendah
serta Bahasa Melayu di sekolah menengah,” katanya.
Sementara itu, Mahdzir berkata seramai 1,175 orang guru baharu akan
ditempatkan di sekolah rendah dan menengah di seluruh negara pada Julai
ini.
Daripada jumlah itu, 746 akan ditempatkan di sekolah rendah dan 429 di sekolah menengah.
Beliau berkata bagi penempatan baharu ini, semua calon diminta akur
dengan penempatan mereka kerana dibuat berdasarkan kepentingan
perkhidmatan dan jika enggan boleh dianggap menolak tawaran itu.
“Kali ini kita akan keluarkan surat tawaran sekali dengan penempatan,
jika mereka enggan dengan tawaran itu, ini bermakna mereka menolak
tawaran itu dan terpaksa memohon semula menjadi guru selepas ini,”
katanya.
Dalam pada itu, Mahdzir berkata bermula Januari tahun depan semua
urusan pertukaran dan penempatan guru akan dilaksanakan secara berpusat
atau One Stop Centre di Putrajaya.
“Selepas ini semua urusan pertukaran guru antara negeri hanya akan
dilaksanakan di Bahagian Pengurusan Sekolah Harian dan KPM sebagai
urusetia dan pertukaran di dalam negeri akan diuruskan oleh Pengarah
Pendidikan Negeri masing-masing,” katanya.
Mahdzir berkaa langkah ini diharap dapat meningkatkan kecekapan dan
keberkesanannya di mana tempoh masa yang akan digunakan untuk proses itu
dapat disingkatkan, memudahkan rujukan oleh pihak pengurusan KPM dan
memudahkan guru berurusan secara setempat.
“Kita berharap apa yang KPM buat ini dapat menyelesaikan banyak
masalah khususnya berkaitan ketidakpuasan hati di kalangan guru terutama
kes “guru duka lara,” katanya.
FMT
No comments:
Post a Comment