Mahkamah Tinggi Kuching memutuskan dewan undangan
negeri tiada kuasa bertindak ke atas keputusan pilihan raya, menyatakan
kuasa itu terletak mahkamah pilihan raya.
PETALING JAYA: Kedudukan Dr Ting Tiong Choon sebagai Adun Pujut
dipulihkan selepas Mahkamah Tinggi Kuching hari ini menyebelahi pihaknya
dalam saman mencabar pelucutannya bulan lepas terhadap Dewan Undangan
Negeri Sarawak.
Pada 12 Mei lalu, kelayakan Ting dilucutkan di bawah Perkara 17(1)(g)
perlembagaan negeri kerana secara rela memperoleh kerakyatan negara
lain.
Usul itu dibentangkan Menteri Kewangan II Sarawak Datuk Seri Wong
Soon Koh dan diluluskan dengan sokongan undi 70 wakil rakyat Barisan
Nasional. Semua 10 wakil rakyat pembangkang tidak menyokong.
Wong berkata Ting menerima kerakyatan Australia pada 20 Januari 2010
dan hanya melepaskannya pada 4 April 2016, sebulan sebelum pilihan raya
Sarawak pada 8 Mei.
Keputusan mahkamah itu diumumkan Setiausaha DAP Sarawak Alan Ling,
yang memuatnaik petikan penting keputusan itu di media sosial.
“Dari segi undang-undang kes, Mahkamah Persekutuan secara konsisten
berpendirian Dewan perlu bertindak dalam batas kuasanya. Perlembagaan
jelas menyatakan mana-mana pihak yang tidak berpuas hati dengan
keputusan pilihan raya mesti membawa kes mereka melalui petisyen pilihan
raya.
“Di bawah Perkara 1.18, mahkamah pilihan raya mempunyai bidang kuasa
eksklusif jika ada keputusan pilihan raya dicabar. Dewan tiada kuasa
untuk menangani keputusan pilihan raya. Dewan bukan badan yang kompeten
untuk membuat keputusan mengenai isu perlembagaan,” tulis Alan.
No comments:
Post a Comment