9 Jun 2017
Mohd Zani (tengah) menunjukkan susu rumusan bayi yang dirampas.
PETALING JAYA - Tidak Serik! Biar pun pernah dipenjarakan kerana
kesalahan jenayah, Geng Susu Kangkang dicekup sekali ketika dipercayai
hendak melakukan jenayah curi susu rumusan bayi.
Kejayaan ini susulan laporan yang diterima berhubung penahanan seorang
lelaki pada 20 Mei lalu di sebuah pusat beli-belah di Kelana Jaya, dekat
sini.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din
berkata, lelaki terbabit ditahan oleh pengawal keselamatan selepas
disyaki mencuri susu bersama beberapa rakannya.
Menurutnya, ketika ditahan, suspek bertindak kasar dengan mencederakan
pengawal keselamatan itu menggunakan pisau sebelum melarikan diri.
"Bertindak hasil risikan dan maklumat, polis berjaya menahan empat
individu membabitkan dua wanita dan dua lelaki berhampiran kedai
serbaneka di Dataran Sunway, Petaling Jaya, kira-kira jam 6.55 petang,
kelmarin.
"Ketika itu, dipercayai suspek hendak melakukan curi di premis
terbabit," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah
Petaling Jaya, hari ini.
Mohd Zani berkata, siasatan dapati Geng Susu Kangkang ini didalangi
salah seorang wanita berusia 38 tahun itu. Malah, semakan rekod dapati
geng ini pernah dipenjara dan baru dibebaskan tahun lalu kerana
kesalahan mencuri.
Memberitahu tentang modus operandi, beliau berkata, dua wanita ini akan
masuk ke dalam premis dengan mengenakan pakaian bersaiz besar sambil
diperhatikan suspek lelaki. Wanita akan mengambil susu rumusan bayi tin
atau kotak sebelum disorokkan dicelah kangkang.
"Suspek lelaki ini berperanan untuk melindungi wanita terbabit dan
sekiranya tertangkap, lelaki terbabit akan menyerang pengawal itu
sebelum melarikan diri.
"Susu yang berjaya dicuri akan dijual di kedai-kedai di kawasan rumah kongsi atau kedai runcit tertentu," katanya.
Kesemua suspek berusia 25 hingga 49 tahun direman dan kes disiasat mengikut Seksyen 394/397 Kanun Keseksaan.
Sinar Harian
No comments:
Post a Comment