Sinar Harian
SHAH ALAM - Syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan swasta sewajarnya
mencontohi CIMB Bank Berhad yang memberi pengenalan cuti bersalin selama
sebulan bergaji kepada para suami yang menerima kelahiran pertama.
Timbalan Ketua Pemuda Dewan Pemuda Pas Malaysia, Ir Khairil Nizam
Khirudin berkata, ini dilihat mampu menjadi usaha dalam menyumbang
kepada kesejahteraan dan kualiti hidup.
"Ia langkah yang wajar dicontohi GLC dan syarikat swasta lain dalam mengukuhkan lagi institusi keluarga dalam negara.
"Pemberian cuti sedemikian wajar agar suami sendiri dapat memberi
tumpuan kepada isteri dan anak selain mengurangkan ‘penswastaan’
penjagaan," katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, ia merupakan ‘pengalaman pertama’ terpenting sekali gus
sebagai perspektif dan penanda aras hala tuju serta pembawaan
kelangsungan keluarga bahagia yang menjadi fitrah manusia, apatah lagi
dalam tempoh tersebut selalunya perlu menjalani beberapa disiplin dan
rutin selain rujukan pemeriksaan perubatan berkaitan.
Katanya, ia masa berkualiti yang sukar dibeli dan menjadi pengikat
kasih sayang pasangan serta menceriakan keluarga dalam membentuk
masyarakat madani yang diimpikan.
"Oleh itu, tujuan pembentukan keluarga yang antaranya menekankan
kehadiran sakinah, mawaddah dan rahmah akan tercapai dari inisiatif,
insentif dan keprihatinan seperti dilaksanakan CIMB.
"Lebih lagi di era ini yang mencatatkan statistik tinggi perceraian,
kes seperti rempit, dadah, kelahiran luar nikah dan sebagainya,"
katanya.
Terdahulu, CIMB memperkenalkan cuti paterniti berbayar selama sebulan
kepada warga kerjanya di bawah dasar yang ditambah baik, untuk
membolehkan golongan bapa meluangkan lebih banyak masa bersama anak
pertama mereka, dan berkongsi tanggungjawab dalam menyambut kelahiran
baharu.
Mengikut dasar baharu itu, cuti paterniti berbayar dinaikkan daripada
tiga hari bekerja berturut-turut kepada sebulan (30 hari berturut-turut
mengikut kalendar).
No comments:
Post a Comment