Sinar Harian
KUCHING - Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam
(Ceupacs) memohon supaya kerajaan memberi lebih banyak tumpuan kepada
usaha bagi membolehkan setiap penjawat awam memilik keupayaan untuk
membeli rumah pada pembentangan Bajet 2018.
Presidennya, Datuk Azih Muda berkata, pihak kesatuan menyambut baik dan
amat menghargai komitmen Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak
untuk memastikan setiap penjawat awam memiliki rumah sendiri, namun
beberapa isu perlu diberi perhatian bagi menjayakannya.
Beliau berkata beberapa kesukaran penjawat awam dalam isu ini
memerlukan pertimbangan kerajaan dalam pelbagai aspek, misalnya dari
segi harga rumah, keterdapatan, isu syarat-syarat pinjaman, dan juga
dari segi kemampuan penjawat awam sendiri.
Katanya pihak kesatuan amat menghargai inisiatif kerajaan mewujudkan
program Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M) yang merupakan hasil
cetusan idea Perdana Menteri, dan berharap ia dapat dikembangkan dengan
lebih meluas lagi di bandar-bandar utama di Sarawak.
“Ia akan membantu kelestarian kehidupan penjawat awam sendiri, dan kita
minta kerajaan pastikan harga rumah tidak naik terlalu tinggi terlalu
pantas, sehingga menjadikan gaji penjawat awam tidak dapat
menampungnya,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas
menghadiri Majlis Bersama Jabatan Pegawai Awam Polis Diraja Malaysia
(PDRM) kontinjen Sarawak di Auditorium Pustaka Negeri di sini hari ini.
PPA1M adalah satu skim rumah mampu milik untuk penjawat awam yang
dilancarkan pada awal tahun 2013 sebagai inisiatif untuk membolehkan
penjawat awam terutamanya yang berpendapatan rendah dan sederhana
membeli rumah yang selesa dari aspek saiz, reka bentuk, kualiti dan kos
yang bersesuaian untuk mereka, khususnya di bandar-bandar utama.
Kerajaan menyasarkan untuk menyediakan 200,000 unit Perumahan Penjawat
Awam 1Malaysia (PPA1M), melebihi sasaran asal 100,000 unit di seluruh
negara menjelang 2020, dan sehingga kini hampir 3,563 unit PPA1M telah
siap dan diduduki.
Azih berkata Cuepacs juga memohon supaya bajet 2018 turut memberi
pertimbangan kepada beberapa perlepasan cukai buat penjawat awam,
selaras dengan pelaksanaan kutipan GST oleh kerajaan ketika ini.
Beliau memberi contoh perlepasan cukai individu yang mungkin boleh
dinaikkan, perlepasan cukai untuk anak-anak yang masih belajar, termasuk
di university, perlepasan terhadap perbelanjaan menjaga ibu-bapa dan
sebagainya.
Katanya Cuepacs turut meminta supaya kerajaan menimbangkan untuk
membuat semakan semula terhadap perubahan gaji kakitangan awam,
khususnya selepas kerajaan selesai melaksanakan proses semakan 240 skim
perkhidmatan ketika ini. - Bernama
No comments:
Post a Comment