TEMERLOH - Pas akan menganjurkan persidangan meja bulat yang akan
membincangkan perkara berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, penganjuran
itu adalah berdasarkan persetujuan Ahli Jawatankuasa (AJK) Pas Pusat
dalam satu mesyuarat yang diadakan di Kompleks Al-Makmur Kerdau, di
sini, semalam.
Katanya, pihaknya akan mengundang kesemua pengurusan tertinggi 1MDB
iaitu Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB, Arul Kanda Kandasamy, selain
turut mengundang mantan Pengerusi Lembaga Pengarah 1MDB, Tan Sri Mohd
Bakke Saleh.
"Antara yang termasuk dalam senarai jemputan ialah bekas Menteri Besar
Selangor, Tan Sri Khalid Ibriahim dan pakar ekomi, Dr Jomo Kwame
Sundaram selain turut menjemput tokoh-tokoh akademik dan ekonomi
tempatan yang, akan dijemput khas ke persidangan itu," katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu sidang media yang diadakan
bersempena majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri Pas Pusat, di sini, hari
ini.
Tambahnya, Pas telah membuat keputusan bahawa mereka harus mendengar
dari kedua-dua belah pihak berkaitan isu 1MDB itu supaya mereka boleh
membuat keputusan yang adil kepada isu-isu yang sedang dibicarakan
sekarang ini.
"Kita jangkakan persidangan ini akan dibuat pada awal Ogos di mana
dalam cadangan kita ia akan diadakan pada 7 Ogos bergantung kepada
persetujuan para pengundang.
"Persidangan ini bersifat tertutup dan tidak terbuka kepada umum
melibatkan pimpinan parti dan ketua-ketua Lajnah atau Dewan. Presiden
Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang juga akan turut hadir sekiranya
kesihatan beliau diizinkan," katanya.
Apabila ditanya tentang kenyataan yang dikeluarkan Panel Penasihat
Jasa, Tun Faisal Ismail Aziz yang mendakwa dirinya tidak memahami 1MDB,
Tuan Ibrahim berkata, kenyataan dikeluarkan Tun Faisal dianggap
bertujuan membela mereka yang dituduh terlibat dalam 1MDB.
Katanya, Pas berpendapatan bahawa keputusan penubuhan Suruhanjaya
Siasatan DiRaja (RCI) sebagai satu idea setelah melihat dilakukan
setelah melihat beberapa agensi penyiasatan terhadap 1MDB tidak
berjalan.
"Kita tak nak tengok sampai rakyat hilang keyakinan terhadap agensi
penyiasatan kita. Apa jalan keluar? Jika kita tidak buat sesuatu, tiada
jalan keluar. Sebab itu kita cadangkan RCI ditubuhkan.
"Dan sehubungan dengan itu kita akan dengan maklumat yang akan
diberikan oleh 1MDB menerusi persidangan yang akan kita lakukan nanti
selain akan terus mendapatkan maklum balas berkaitan isu ini," katanya.
Beliau dalam masa sama turut memberitahu Pas juga akan menganjurkan
program besar-bersaran sambutan Hari Malaysia yang akan diadakan di
Sandakan, Sabah pada 16 September nanti.
"Semua pimpinan pusat akan turun ke Sabah sempena sambutan itu nanti di
mana turut diadakan beberapa sesi pembentangan dan perbincangan sempena
sambutan itu terutama bagi kita lihat peranan Pas sebagai sebuah parti
penting untuk rakyat Sabah selain bagi melihat masalah-masalah yang
berlaku dalam Sabah sendiri khususnya dalam usaha mengeratkam hubungan
antara Sabah, Semenanjung dan Sarawak," katanya.
This comment has been removed by the author.
ReplyDelete