Seorang ahli PPBM Melaka dikatakan mengalami retak tulang pipi dan kecederaan di mata selepas dipukul sekumpulan penyokong Umno.
PETALING
JAYA: Ketua Pemuda PPBM Melaka Ramlan Meon mendakwa dirinya ditumbuk
dan mulutnya disumbat cili oleh sekumpulan penyokong Umno yang tidak
berpuas hati dengan bendera parti yang digantung sempena majlis rumah
terbuka PPBM di Melaka.
Ketua PPBM Melaka Mohd Redzuan Yusof berkata kejadian berlaku sehari
selepas Ramlan dan penguatkuasa Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah
(MBMB) bertelingkah dan berdamai apabila pihak berkuasa tempatan
mengarahkan bendera, kain rentang dan sepanduk parti diturunkan 9 Julai
lalu.
“Pada keesokan hari Ramlan dihubungi seorang kenalan yang merupakan
penyokong kuat Umno untuk berjumpa bagi menyelesaikan konflik yang
berlaku sehari sebelumnya secara baik,” kata Redzuan pada sidang media
di ibu pejabat PPBM hari ini.
Menurut Redzuan, Ramlan menerima pelawaan kenalan itu yang
mengajaknya bertemu di sebuah restoran. Ramlan mendapati kehadirannya
dinantikan belasan orang, yang antaranya memegang jawatan penting dalam
Umno, bersama kakitangan MBMB, katanya.
“Ramlan kemudian ditumbuk beberapa kali di muka, dipaksa menelan
segenggam cili padi dan diugut ditikam dengan pisau. Salah seorang
daripada mereka menghantukkan kepalanya ke muka Ramlan,” kata Redzuan.
Akibat serangan itu, Ramlan dikatakan mengalami retak tulang pipi dan
kecederaan di mata. Ramlan menolak kejadian itu berlaku disebabkan
dendam lama.
“Pemuda PPBM percaya budaya samseng sangat teruk dalam Umno. Kita
perlu ubah mereka,” kata Ketua Penerangan Pemuda PPBM Ulya Husamudin di
sidang media yang sama.
Pertelingkahan antara Ramlan dan penguatkuasa MBMB sehari sebelum
kejadian itu tular di media sosial. Dalam pertelingkahan itu, pemuda
PPBM mempertikaikan mengapa pihak berkuasa tempatan tidak mengarahkan
bendera Umno diturunkan.
Beberapa kata-kata kesat dilemparkan, namun menurut Redzuan, ia
kemudiannya dapat diselesaikan secara baik. Bendera, kain rentang dan
sepanduk parti diturunkan seperti yang diarah pihak berkuasa tempatan.
“Ramlan dan penguatkuasa mengakui kesilapan masing-masing dan saling
bermaafan. Malangnya pertikaian mulut yang sepatutnya selesai tidak
berakhir setakat itu,” katanya.
Redzuan berkata satu laporan polis sudah dibuat di Balai Polis Bukit
Baru, Melaka Tengah 11 Julai lalu dan PPBM Melaka mendesak polis
menyiasat dan bertindak ke atas pihak terlibat.
“PPBM tidak mahu sebarang campur tangan politik dalam kes ini. Pihak
berkuasa perlu menjalankan tugas secara profesional dan telus tanpa
tekanan mana-mana pihak,” katanya
FMT
No comments:
Post a Comment