Putera Johor yang mahir sukan polo itu tidak dapat
menyertai skuad negara kerana 4 negara meminta menurunkan tahap prestasi
pemain.
PETALING JAYA: Setiap pemain dalam sukan polo akan bermula dengan
“handicap -2”, iaitu ukuran kebolehan mereka dalam sukan berkuda itu.
Dalam sukan polo, handicap 10 merupakan handicap tertinggi, dan pada
masa ini, hanya 8 orang pemain polo sahaja di dunia yang memiliki
handicap 10.
Menjelaskan sistem penilaian itu, Pengurus Pasukan Polo Negara, Datuk
Mohamad Zekri Ibrahim memberitahu FMT, handicap itu meningkat sekiranya
pemain kerap menyertai pertandingan dan punyai prestasi mengagumkan.
Pada Sukan SEA yang akan datang, Malaysia perlu akur dengan
permintaan Thailand, Indonesia, Filipina dan Brunei untuk menurunkan
handicap perlawanan iaitu di antara 5 hingga 8.
Beliau diminta mengulas kritikan Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku
Ismail Sultan Ibrahim baru-baru ini yang mempersoalkan seorang ahli
politik yang “tidak boleh menunggang kuda atau bermain polo” dipilih
mewakili negara.
Walaupun TMJ tidak menamakan siapa yang dimaksudkannya, Ketua Pemuda
Umno Khairy Jamaluddin merupakan antara yang terpilih mewakili negara
dalam skuad polo pada Sukan SEA yang bakal diadakan di Kuala Lumpur
tahun ini.
Zekri berkata menteri belia dan sukan itu dinilai secara terperinci
sebelum dipilih dan berjaya melepasi proses saringan seperti ujian
kecergasan, tunggangan dan pukulan.
“Setakat ini, sewaktu Khairy bermain untuk pertandingan terbuka
Malaysia yang berlangsung pada minggu lepas, prestasinya sebagai pemain
baik.
“Dalam 2 perlawanan yang Khairy main pada Jumaat dan Selasa lalu,
tidak dinafikan dia turut menyumbang kepada kemenangan pasukan. Dia ada
menjaringkan gol, bermain mengikut taktikal ditetapkan jurulatih,”
katanya kepada FMT.
Bagaimanapun, Zekri berkata itu tidak bermakna Khairy lebih layak
daripada pemain polo profesional lain, termasuk TMJ, yang pasukan
polonya Johor Ellerstin bakal bertanding pada kejohanan polo
antarabangsa Jockey Club di Argentina pada September ini.
‘Khairy cuma handicap 0’
Sebaliknya, Zekri berkata ia kerana TMJ terlebih layak, sedangkan Khairy cuma di peringkat handicap 0 dalam sukan itu.
“TMJ mempunyai handicap yang tinggi. Kalau tidak salah baginda di
kedudukan handicap 3 iaitu salah satu handicap tertinggi di Malaysia,”
kata Zekri kepada FMT.
“Baginda punyai kelebihan dalam mengelecek dan mengawal bola. TMJ
miliki pendedahan luar negara yang hebat kerana banyak sertai
pertandingan antarabangsa,” tambahnya, sambil berkata golongan diraja
Pahang dan Perak juga merupakan pemain hebat polo.
Zekri berkata ia juga antara sebab mengapa TMJ tidak boleh menyertai skuad polo Sukan SEA mewakili Malaysia.
“Kadang-kala pemain polo ini memang perlukan handicap tinggi tetapi
di tahap Sukan SEA, kadar handicap itu diturunkan iaitu 5 hingga 8
handicap. Ia supaya kita dapat lengkapkan 8 pasukan,” katanya.
Sebelum ini, TMJ yang juga presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia
(FAM) dalam artikel meluahkan kebimbangannya mengenai situasi negara,
menyindir seorang ahli politik yang menyertai pasukan polo kebangsaan.
“Ia (Malaysia) telah menjadi tempat di mana ahli-ahli politik mahu
menjadi selebriti dan ahli sukan. Di mana seseorang yang tidak boleh
menunggang kuda atau bermain polo boleh dipilih untuk mewakili negara,”
katanya dalam kiriman di Facebook Johor Southern Tigers.
Ia disusuli dengan cabarannya kepada skuad polo Sukan SEA untuk berentap dengan pasukannya, Johor Ellerstin.
TMJ turut mempersoalkan Zekri mengenai kebolehannya dalam suka polo.
“Bukankah saya pernah mengalahkan pasukan yang Datuk wakili dulu
sebanyak 10-0 dan 11-0 semasa satu pertandingan polo di Pekan, Pahang?
“Macam mana anda boleh mewakili negara? Saya ingat hanya seorang
sahaja yang melobi mewakili negara, rupa-rupanya ramai lagi yang melobi
untuk mewakili negara ke Sukan SEA,” katanya.
Zekri berkata, beliau mengimpikan untuk bermain dalam satu pasukan
bersama Tunku Ismail dan beberapa lagi pemain sukan polo seperti Saladin
Mazlan.
FMT
No comments:
Post a Comment