Rata-rata mereka yang hadir pada perhimpunan pesara kerajaan semalam berkata mereka bersedia menyokong pemerintah.
SERDANG: Pesara sektor yang hadir pada majlis dihadiri Datuk Seri
Ahmad Zahid Hamidi semalam rata-rata bersedia menyokong kerajaan seperti
yang disarankan, tetapi mereka juga berharap kebajikan mereka lebih
diambil perhatian.
Mohamad Ismail, 68, yang pernah bertugas di Jabatan Telekom Malaysia,
berkata masalah utama pesara yang tidak berpuas hati adalah mengenai
pencen yang diberi oleh kerajaan.
Ismail berkata ada rakannya menerima pencen serendah RM200 sebulan dan ia tidak sepatutnya berlaku.
“Kita kena kembali pada asasnya, mungkin ada permohonan yang diminta daripada perdana menteri telah ditolak.
“Bila kakitangan diswastakan, ada yang terima pencen RM200 jadi
mereka jadi ‘beku’. Jadi golongan ini pendam rasa,” katanya yang
merupakan antara 7,000 pesara dan bakal pesara kerajaan yang hadir di
Perhimpunan 1Pesara Malaysia 2017 di Serdang semalam.
Zahid yang juga timbalan perdana menteri dalam ucapannya mengingatkan mereka supaya berterima kasih kepada kerajaan.
“Kebersamaan kita pada hari ini dan hari akan datang bagi pastikan
berterima kasih kepada organisasi dan kerajaan Malaysia yang selama ini
memberikan perlindungan dan terus bagi perlindungan kita selama ini.
“Insya Allah, kita takkan pernah menggigit tangan yang pernah memberi makan pada kita,” katanya.
Zahid berkata pesara tidak perlu melayani perasaan tidak puas hati
terhadap kerajaan kerana akan hanya menyebabkan hati diselubungi “rasa
benci yang tiada noktah”.
Ismail berkata, tidak menjadi masalah menyokong kerajaan.
“Sokongan itu kalau fikir secara rasional, tidak ada apa. Sebab kita bukan orang politik,” katanya.
“Memang sokong sebab tangan yang memberi kenapa perlu kami sumpah. Itu rezeki dari Allah. Terimalah apa ada,” katanya.
Ibrahim Mustafa, 63, pesara Lembaga Pertubuhan Peladang, berkata
dalam menyokong kerajaan, pesara juga perlulah mendapat balasan yang
setimpal.
“Pesara ini kadang-kadang lihat orang yang bekerja (dalam sektor
awam) terima pelbagai kemudahan. Setiap tahun pesara hanya dapat 3% atau
4% kenaikan pencen. Orang kerajaan dapat lebih.
“Pesara pun banyak tanggungan. Kita sokong kerajaan cuma kita minta
kerajaan beri sama rata. Kerana pesara sudah tahu suasana politik dan
pentadbiran. Di samping sokong kita nak balasan.
“Kita juga ada bangkitkan kemudahan seperti rawatan, pengangkutan dan perkhidmatan diberi kepada pesara,” katanya.
Pesara Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Rosnah Yusof, pula berkata untuk pesara berpuas hati 100% pada kerajaan itu memang susah.
Tetapi, jika 70% peratus menyokong kerajaan juga sudah memadai dan
selagi kerajaan menjaga kebajikan, pesara perlu menyokong kerajaan,
katanya.
Beliau turut merungut mengenai kadar pencen.
“Kos sara hidup bertambah tinggi,” tambah Rosnah, 58.
FMT
No comments:
Post a Comment