Malaysiakini 21/8/17
Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat kes kerugian BNM
akibat kegiatan perdagangan mata wang asing dianggarkan kira-kira AS$10
bilion (RM44 bilion) sekitar 1990-an hari ini menyaksikan peguam Tun Dr
Mahathir Mohamad, Mohamed Haniff Khathri Abdulla diarahkan supaya duduk.
Ini apabila beliau menegaskan, pasukan peguamnya perlu diberi salinan
dokumen dan senarai saksi berkaitan RCI itu yang katanya boleh
membuatkan pasukan peguamnya membantu suruhanjaya berkenaan.
"Bagaimana kami dapat membantu tanpa dokumen yang diperlukan? Saya
tidak bermaksud untuk mengganggu pihak suruhanjaya," kata Haniff.
Selepas
itu, seorang anggota panel suruhanjaya, iaitu Hakim Mahkamah Tinggi
Datuk Kamaludin Md Said bertanya kepada Haniff bagaimana peguam itu
dapat membantu jika mereka diberi salinan dokumen berkenaan.
Haniff kemudian menjelaskan bahawa, dokumen-dokumen itu penting bagi
pasukan peguamnya untuk merangka soalan-soalan yang relevan terhadap
para saksi.
"Kalau begitu, kamu tunggu apa yang saksi akan cakapkan. Duduklah,
kami mahu teruskan (sesi pendengaran)," kata Kamaludin sambil
meninggikan suaranya.
Bercakap kepada pemberita selepas sesi pendengaran itu, Haniff
berkata, dokumen itu diperlukan bagi memastikan bahawa pihak peguam
tidak mencelah semasa prosiding.
"Setakat ini, suruhanjaya belum memutuskan sama ada kami mempunyai hak untuk dapatkan senarai saksi.
"Kenyataan saksi yang dibacakan tidak diberikan kepada kami. Kami
sekarang dalam keadaan, kami mendengar tetapi kadangkala ia tidak dibaca
dengan begitu jelas kerana mikrofon tidak berfungsi.
"Sukar untuk mendengar dan mengikuti prosiding, kami tidak ada bahan.
Kami cuma berharap pihak suruhanjaya, apabila ini dteruskan, berikan
kami dokumen," kata Haniff.
Haniff dan R Sivarasa yang mewakili ketua umum Pakatan Harapan Datuk
Seri Anwar Ibrahim, sebelum ini berkata mereka sedang berusaha untuk
mendapatkan senarai saksi yang akan dipanggil oleh RCI.
RCI
dibentuk untuk menyiasat kerugian Bank Negara dan implikasinya ke atas
ekonomi negara ketika pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai
perdana menteri.
Ia juga akan menentukan sama ada pembabitan Bank Negara dalam
aktiviti forex melanggar Ordinan Bank Pusat 1958 atau undang-undang lain
berkaitan.
Suruhanjaya berkenaan akan menentukan sama ada wujud percubaan untuk
menyembunyikan fakta dan maklumat mengenai isu berkenaan dan akan
mengesyorkan tindakan yang akan diambil terhadap mereka yang terlibat
sama ada secara langsung atau tidak langsung.
Pengkritik melihat usaha itu sebagai tindak balas terhadap sikap
Mahathir yang lantang mengkritik dan berusaha menjatuhkan Perdana
Menteri Datuk Seri Najib Razak dan BN.
No comments:
Post a Comment