PARIS - PERANCIS. Ratusan ribu rakyat Perancis membantah rancangan
Presiden Perancis, Emmanuel Macron memberikan gelaran 'First Lady'
kepada isterinya.
Menurut laporan CNN, Macron yang memegang jawatan bermula Mei dituduh
hipokrit kerana sebelum ini mengecam nepotisme dalam sistem politik
negara itu.
Jika isteri Macron, Brigitte memegang jawatan tersebut, wanita itu akan
diberikan kakitangan, pejabat dan akses kepada dana awam.
Ketika kempen pilihan raya, Macron pernah menyebut sebarang jawatan isterinya tidak akan menggunakan dana awam.
Satu petisyen membantah Brigitte Macron menggalas jawatan 'First Lady' dibuat dan ditandatangani hampir 200,000 orang awam.
"Ketika ini, Brigitte Macron mempunyai satu pasukan merangkumi dua atau
tiga penasihat, dua kerani dan dua anggota keselamatan. Itu sudah
memadai," kata petisyen tersebut.
Langkah kontroversi itu diambil di saat Macron bersedia untuk
meluluskan undang-undang yang melarang kerajaan mengambil ahli keluarga
untuk memegang jawatan rasmi.
Jika undang-undang tersebut diteruskan, mereka yang gagal mematuhinya berhadapan denda dan berpotensi dipenjarakan.
Macron kini berhadapan tekanan yang meningkat dan laporan mengatakan popularitinya menurun selepas memegang jawatan.
Bulan lepas, Jeneral Pierre de Villiers meletak jawatan sebagai ketua
angkatan tentera Perancis berkenaan bajet pertahanan negara.
De Villiers juga mengkritik Macron dengan mengatakan presiden tersebut
adalah satu-satunya presiden yang tidak pernah berkhidmat di dalam
tentera.
No comments:
Post a Comment