Ia antara kandungan afidavit dikemukakan bekas
menteri itu yang mencabar keputusan ketua hakim negara tidak menarik
diri daripada kes melibatkan peguam negara.
PUTRRAJAYA: Datuk Zaid Ibrahim hari ini menyertakan gambar Datuk Seri
Najib Razak dalam sebuah majlis keramaian bersama Tan Sri Raus Sharif,
dalam memfailkan permohonan mencabar keputusan ketua hakim negara untuk
tidak menarik diri daripada permohonan kes menyemak semula kuasa peguam
negara
Bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata panel 3 hakim
Mahkamah Persekutuan silap dalam mengabaikan permohonannya untuk
menyingkirkan Raus.
Beliau berkata terdapat kemungkinan berlaku ketidakadilan kerana Raus
mempunyai hubungan rapat dengan perdana menteri, dan Peguam Negara
menolak untuk mendakwa Najib Razak atas kesalahan jenayah.
Zaid berkata, walaupun permohonan kebenaran untuk kajian semula
kehakiman ditujukan terhadap Peguam Negara, sasaran utama permohonan
ialah Najib.
Menurutnya, perdana menteri ialah seorang suspek dalam penyiasatan
mengenai sejumlah wang yang dimasukkan ke dalam akaun peribadinya di
AmIslamic.
“Suspek (Najib) yang mencadangkan pelantikan ketua hakim ini untuk
jawatannya. Malahan, terdapat hubungan peribadi yang rapat antara suspek
dan ketua hakim.
“Ini dibuktikan dengan kejadian di mana ketua hakim menghadiri
upacara keagamaan anjuran suspek pada hari lahir suspek. Tiada ahli lain
Mahkamah Persekutuan hadir majlis itu,” katanya dalam afidavit
menyokong permohonannya.
Semalam, bekas ketua Umno Batu Kawan, Datuk Seri Khairudin Abu Hassan memfailkan permohonan yang sama.
Dalam menamakan peguam negara sebagai responden permohonan itu di
bawah Akta Mahkamah Persekutuan 1995, Zaid berkata beliau mahukan
keputusan 28 Julai menolak rayuannya diketepikan.
Zaid juga mahukan panel hakim baharu dibentuk untuk membicarakan semula permohonan kebenaran itu.
Raus yang duduk bersama-sama Ketua Hakim Malaya Tan Sri Ahmad Maarop
dan hakim Tan Sri Azahar Mohamed, sebulat suara menolak permohonan Zaid,
Khairuddin dan Majlis Guaman Malaysia.
Zaid berkata sebelum permulaan prosiding mahkamah pada 28 Julai,
peguamnya menyampaikan sebab kepada pendaftar mahkamah untuk
menyingkirkan Raus daripada mengetuai panel.
“Bagaimanapun, ketua hakim memutuskan untuk tidak menarik dirinya
kerana beliau akan memutuskan kes itu menurut undnag-undang dan fakta,”
katanya.
Kes itu bertujuan mencabar keputusan Peguam Negara Tan Sri Apandi Ali
menutup siasatan melibatkan wang RM2.6 bilion di dalam akaun bank
Najib.
Sebelum ini, Mahkamah Tinggi berkata mahkamah bukan tempat untuk
mendapatkan tebus rugi bagi mereka yang tidak berpuas hati dengan
keputusan peguam negara tidak mendakwa mana-mana kes jenayah.
FMT
No comments:
Post a Comment