(Ubah saiz teks)
SHAH ALAM - Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang akan berlangsung pada
masa akan datang akan menyaksikan DAP sebagai parti paling selamat dan
selesa berhadapan dengan lawan di kawasan mereka.
Ini kerana menurut penganalisis politik Universiti Utara Malaysia, Md
Shukri Shuib, potensi undi orang Cina masih dilihat sebagai penyumbang
utama kepada mereka.
"DAP akan menang besar kali ini, sementara PKR akan mati serta ia akan mendorong kepada dominasi mutlak DAP dalam Pakatan.
"PKR akan mati akibat tidak ada jentera kempen menyeluruh. PKR bukan
sahaja akan hilang jentera, malahan undi penyokong Pas juga hilang jika
bertanding pelbagai penjuru," katanya ketika dihubungi Sinar Online.
Menurutnya lagi, sekiranya Selangor dan Pulau Pinang kekal di tangan
Pakatan, beliau juga menjangkakan DAP akan menguasai kerajaan negeri itu
secara mutlak, meskipun tanpa PKR dan Amanah.
"Andaian politik memperlihatkan kaum Cina sebagai pengundi mutlak DAP walaupun mereka terdiri dari ahli parti yang lain.
"Kawasan majoriti kaum Cina akan terus dikuasai secara mutlak oleh DAP," ujarnya.
Menurutnya lagi, kerusi yang melibatkan pengundi Cina melebihi 50
peratus dijangka hanya akan melibatkan pertembungan antara calon BN dan
DAP, sementara kerusi majoriti Melayu dan campuran akan menyaksikan
pertarungan pelbagai parti.
"Pertarungan paling sengit mungkin akan melibatkan kerusi-kerusi di Kelantan, Selangor, Pulau Pinang dan Kedah serta Johor.
"Paling panas saya jangkakan di Selangor, kerana ianya lebih melibatkan
'gusti' antara Pas dengan parti yang dianggap proksi DAP," katanya
lagi.
No comments:
Post a Comment