(Ubah saiz teks)
SEREMBAN – Aksi dua anggota bomba wanita yang terlibat dalam operasi
memadamkan kebakaran di Pasar Besar Seremban Sabtu lalu, menarik
perhatian ramai apabila gambar mereka tular di laman sosial.
Nor Maisarah Ibrahim, 27, dan Siti Norhaliza Zakaria, 19, yang sedang
mengangkat peralatan memadam kebakaran dirakamkan serta dimuat naik di
Facebook.
Mereka antara 40 pegawai dan anggota bertungkus lumus memadamkan
kebakaran di pasar terbabit yang disifatkan kejadian terburuk tahun ini.
Meskipun bertubuh kecil, dua gadis ayu yang bertugas di Balai Bomba dan
Penyelamat Seremban itu membuktikan yang mereka bukan calang-calang
orang.
Nor Maisarah berkata, dia hanya mengetahui gambarnya tular selepas
seorang rakan berkongsi mengenainya di aplikasi WhatsApp, semalam.
“Saya tak perasan pun ada yang ambil gambar kerana tengah fokus
bertugas bersama anggota lain. Lagipun ketika itu keadaan gelap dan
orang agak ramai.
“Saya memang dah biasa buat aktiviti lasak kerana minat kepada cabaran
dan sukan lasak sejak dari sekolah. Sebelum ini, saya bertugas sebagai
jururawat tetapi menukar kerjaya sebagai anggota bomba kerana minat,”
katanya.
Menurutnya, sebelum ini dia menjalani latihan di Akademi Bomba dan
Penyelamat Malaysia Wakaf Tapai, Terengganu selama empat bulan dan
bertugas di Perak selama sebulan sebelum ditukarkan ke Seremban Mei
lalu.
Sementara itu, Siti Norhaliza pula mengakui pada mulanya dia malu apabila mengetahui gambarnya tular di laman sosial.
Dia juga tidak menyangka ramai yang memberi sokongan moral untuknya terus berkhidmat dalam pasukan beruniform itu.
“Saya tak pernah terfikir pun nak jadi bomba dan tak minat pun. Tapi
selepas cuba menyertai pasukan ini, rasa teruja dengan kerjaya ini
timbul.
“Malah saya rasa bangga kerana sebagai seorang wanita, saya mampu
bekerja dalam bidang yang ramai kaum lelaki. Bagi saya kerjaya bomba
telah mendidik diri menjadi lebih berdisiplin,” katanya.
No comments:
Post a Comment