Malaysiakini 5/9/17
Datuk Seri Jamal Yunos, pemimpin bahagian Umno yang terkenal dengan
pelbagai gimiknya, hari ini memecahkan meja dalam satu sidang media
antijudi di Ampang.
Selepas sidang media kira-kira 15 minit, beliau bangun mengambil
tukul besar dan menghentak meja itu beberapa kali sehingga pecah dan
patah.
Beliau dilaporkan bertindak demikian selepas memberi amaran supaya
kerajaan Selangor mengarahkan pihak berkuasa tempatan (PBT) membatalkan
lesen pusat judi atau berdepan tindakan “di luar batas undang-undang”.
Sebelum memecahkan meja, Jamal sempat memberitahu media bahawa
tindakannya itu sebagai simbolik ke atas kedai-kedai judi yang ada di
Selangor.
Selepas beberapa kali menghayunkan tukul dan menyebabkan meja berkenaan terbelah, Jamal kemudian berkata:
"Inilah yang kami akan lakukan jika undang-undang yang ada di
Selangor ini, kita lihat undang-undang itu pekak, tuli dan bisu," kata
Jamal.
Malah, beliau turut memberitahu akan mengadakan satu mesyuarat tergempar antara NGO yang ada di Selangor berkaitan pusat judi.
"Kita bukan nak bermusuh dengan tauke judi tapi nak pastikan,
pegawai-pegawai atau orang yang memegang amanah, bertanggungjawab di
Selangor ini, jalankan tanggungjawabnya.
"Bukan setakat ambil habuan tiap-tiap bulan dan musnahkan generasi
bangsa rakyat negeri Selangor," ujar Jamal lagi sambil menghempaskan
tukul yang dipegangnya ke arah meja yang telah pecah.
Dalam sidang medianya pula, Jamal berkata, beliau mempersoalkan bilangan pusat judi di Selangor yang bertambah.
Justeru, ketika ditanya sama ada beliau ingin mengadakan himpunan
lagi, Jamal berkata beliau tidak mahu membuat demonstrasi di depan pagar
pejabat kerajaan negeri sebaliknya mahu lakukannya di dalam pejabat
Menteri Besar Selangor.
"Kenapa anak-anak Melayu dijadikan kambing hitam oleh menteri besar
Selangor ini dan menjadikan pusat judi sebagai hasil untuk majlis daerah
atau perbandaran?
"Saya tak nak buat demonstrasi lagi. Kalau boleh nak buat dalam SUK,
bukan di luar. Tak nak berdemonstrasi sampai pagar tetapi dalam pejabat
menteri besar.
"Kita nak susun mesin judi dalam (pejabat menteri besar) itu dan
mungkin kalau main (judi) dalam tu boleh menang besar," ujar Jamal.
No comments:
Post a Comment