Khairy berkata sudah tiba masanya pembangkang
mengamalkan politik berteraskan idea dan intelek, bukannya mengejar
populariti dengan retorik dan kebencian.
KUALA
LUMPUR: Pemuda Umno berkata Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed
Azmin Ali cetek ilmu pelaburan apabila mendakwa Malaysia menghantar wang
rakyat ke luar negara susulan perjanjian berbilion dolar Perdana
Menteri Datuk Seri Najib Razak semasa lawatannya ke Amerika Syarikat
(AS).
Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin berkata sudah tiba masanya
pembangkang mengamalkan politik berteraskan idea dan intelek, bukannya
mengejar populariti dengan retorik dan kebencian.
“Pelaburan Malaysia ke AS atau mana-mana negara berekonomi besar adalah untuk kebaikan rakyat dan negara.
“Kerajaan Barisan Nasional (BN) telah lama membuktikan kita mampu
melangkaui politik murahan dan terus berkhidmat kepada rakyat melalui
kestabilan polisi ekonomi dan hubungan diplomatik yang utuh,” katanya
dalam kenyataan hari ini.
Menteri belia & sukan itu berkata, sebagai negara yang
mengamalkan konsep ekonomi terbuka, Malaysia menerima dan membuat
pelaburan dengan negara luar.
Beliau berkata, pada 2016 Malaysia menerima pelaburan langsung asing
(FDI) bernilai RM47.2 bilion yang menunjukkan peningkatan sebanyak 20%
berbanding 2015.
Bagi separuh pertama 2017, Malaysia mencatat aliran masuk bersih
(FDI) bernilai RM25.3 bilion ke dalam pelbagai sektor terutamanya sektor
perkhidmatan, pembuatan dan perlombongan.
No comments:
Post a Comment