(Ubah saiz teks)
SHAH ALAM - Bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Muhammad Muhd Taib
tidak mampu menjatuhkan Kerajaan Selangor kerana beliau sudah tidak
mempunyai sebarang kuasa dan pengaruh lagi.
Oleh itu, kata Pengarah Strategi Kebangsaan PKR, Sim Tze Tin, adalah
menjadi perkara mustahil Mat Taib dapat memujuk Adun PKR dan Pas
membentuk barisan 34 Adun bagi membentuk kerajaan baharu di Selangor.
Tze Tin mengulas berita yang menjadi tular di media sosial, mengatakan
bekas Menteri Besar Selangor itu sepatutnya membawa bersamanya lapan
Adun ke dalam Umno, sekali gus menyebabkan pentadbiran Kerajaan Selangor
tumbang.
"PKR telah menerima pengajaran ketika PRU 2008. Oleh itu pada PRU 2013,
Datuk Seri Anwar Ibrahim amat berhati-hati ketika melakukan pemilihan
calon.
"Beliau amat pentingkan keupayaan dan kesetiaan seseorang ahli sebelum dipilih sebagai calon," katanya kepada Sin Chew Daily.
Menurut Tze Tin, pengundi hari ini semakin matang dan tidak teragak-agak akan menghukum wakil rakyat yang menyertai parti lain.
Sementara itu, Ahli Parlimen Petaling Jaya Selatan, Hee Loy Sian
membidas berita tular tersebut kerana ia hanyalah berita palsu.
"Kerajaan pentadbiran Selangor masih kukuh dan kuat. Tidak ada seorang
pun Adun daripada PKR ataupun Pas yang mahu melompat parti.
"Semua 13 Adun Pas Selangor adalah ahli-ahli Pas yang kuat menentang
Umno. Mereka tidak mungkin akan menyertai Umno," kata Loy Sian kepada
akhbar ini.
Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Annuar Musa turut mempertikaikan
kesahihan berita tersebut dan menganggap ia sengaja diada-adakan.
"Banyak berita palsu kini disebarkan dalam media sosial. Berita
kononnya ada lapan Adun sertai Umno adalah salah satunya daripadanya. Ia
tidak berasas sama sekali," katanya.
Manakala Pengerusi DAP Selangor, Tony Pua pula berkata, berita ramai Adun sertai Umno adalah tidak benar.
"Namun, sekiranya benar, mungkin hanya berlaku ke atas Adun Pas sahaja," katanya.
Implikasi Mat Taib kembali sertai Umno
Kemasukan kembali Mat Taib ke pangkuan Umno dianggap ada keburukan dan kebaikannya kepada parti itu sendiri.
Penganalisis politik, Tan Ah Chai memberitahu, Umno akan memperoleh
faedah dengan kemasukan Mat Taib kerana mampu menjejaskan semangat dan
moral Pakatan Harapan.
"Bagaimanapun, imej negatif Mat Taib sedikit sebanyak boleh
mempengaruhi Umno sendiri, apatah lagi sanggup menerima
pemimpin-pemimpin lama yang sudah bersara dalam arena politik tanah air
ini," kata Ah Chai kepada China Press.
Ah Chai memaklumkan, matlamat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun
Razak ketika ini bukan hanya Mat Taib seorang, tetapi lebih daripada itu
kerana boleh memberikan tekanan kepada Pakatan Harapan.
"Walaupun Mat Taib pernah menjadi Menteri Besar Selangor, tetapi kes
beliau yang membawa masuk wang tunai berjumlah RM2.4 juta ke Australia
tetap diingati orang sampai bila-bila.
"Lagipun, pengaruh Mat Taib tidaklah begitu kuat berbanding dengan Tun Dr Mahathir Mohamad.
Jadi apa yang boleh dilakukan Mat Taib dalam Umno ketika ini?," soalnya.
No comments:
Post a Comment