Friday, September 1, 2017

PM Thailand pertahan Malaysia ungguli pungutan pingat

KL2017
(Ubah saiz teks)
PERDANA Menteri Thailand Jeneral Prayut Chan-o-cha mempertahankan Malaysia yang mengungguli kutipan pingat emas terbanyak dalam temasya Sukan Sea Kuala Lumpur 2017 (KL2017), dengan menyatakan ‘ia adalah normal’ bagi negara tuan rumah berdasarkan persiapan yang lebih baik untuk menghadapi sukan terbesar di Asia Tenggara itu.

Walaupun memuji aksi atlet Gajah Putih dalam temasya dwitahunan itu, beliau berkata ‘beberapa persatuan sukan’ di negara berkenaan masih dibelenggu masalah dan mahu ia diperbaiki sebaik pulang ke Thailand.

“Adalah sesuatu yang normal bagi negara tuan rumah akan mendapat lebih banyak (pingat emas) berdasarkan persediaan yang dilakukan.
"Sama seperti kami, apabila menjadi tuan rumah, kami juga boleh menguruskan jenis sukan dan kali ini mereka (Malaysia) mempunyai persiapan yang lebih baik,” katanya kepada pemberita di Rumah Kerajaan, di sini hari ini.

Walaupun menduduki tempat kedua di belakang Malaysia dalam keseluruhan pungutan pingat dan kehilangan mahkota serantau, Perdana Menteri menegaskan beliau masih berpuas hati dengan prestasi cemerlang atlet Thailand dalam temasya itu yang membabitkan pelbagai jenis sukan.
“Kami gembira kerana menduduki tempat kedua walaupun saya mahu mereka terus mengungguli carta teratas pungutan pingat,” katanya.

Komen Prayut itu dibuat susulan kritikan yang dilemparkan oleh media dan peminat Gajah Putih itu terhadap aspek penganjuran KL2017 oleh Malaysia.
Selain mengkritik negara tuan rumah mengenai perkara-perkara remeh semasa penganjuran Sukan Sea seperti kekurangan makanan dan pengangkutan atlet, mereka juga menuduh Malaysia tidak mempunyai semangat kesukanan dalam misi tuan rumah untuk mengungguli pungutan pingat dan bergelar juara keseluruhan.

Akhbar berbahasa Inggeris, Bangkok Post dalam artikel bertajuk 'An ugly tradition continues in Malaysia' hari ini berkata emosi semakin tinggi dalam kalangan peminat dan wartawan Thailand yang meluahkan kemarahan mereka dengan melabelkan Sukan Sea Kuala Lumpur sebagai “SEA Kong” atau (SEA Tipu) .

Ia juga berkata ketua kontinjen Thailand dalam temasya dwitahunan itu, Thana Chaiprasit mendakwa penganjuran KL2017  adalah paling teruk berbanding penganjuran Sukan Sea yang lain serta Sukan Olimpik dan Sukan Asia.
Beliau juga mendakwa pegawai dari negara lain turut berkongsi pendapat yang sama.

Walaupun kritikan pedas dilemparkan oleh Bangkok Post, satu lagi akhbar harian berbahasa Inggeris , yang popular di sini, The Nation lebih bersifat introspektif dalam menilai prestasi Thailand pada temasya KL2017, memilih untuk menyalahkan prestasi atlet negara itu yang hambar berbanding Malaysia.

Dalam teguran keras terhadap pihak berkuasa sukan negara itu, akhbar The Nation dalam lidah pengarangnya baru-baru ini berkata negara itu gagal terutama dalam acara sukan antarabangsa pada temasya dwitahunan berprestij itu yang sedang berlangsung di Kuala Lumpur.

“Pada temasya Kuala Lumpur 2017, Thailand telah gagal terutamanya dalam 'sukan antarabangsa'. Pendek kata sekiranya acara sukan serantau (tradisional) dikeluarkan daripada carta pingat, negara masih ketinggalan di belakang Malaysia, Singapura dan Vietnam," katanya.

Penyenaraian sukan tradisional dalam Sukan Sea, katanya, dijadikan alasan oleh negara itu jika ia kalah kepada Malaysia tetapi ia tidak boleh bergantung kepada alasan dan hujahan itu lagi kali ini.- Bernama

No comments:

Post a Comment