Presidennya Kamarozaman Abd Razak mahu kod etika ibu
bapa diwujudkan bagi memastikan maruah dan emosi guru tidak terjejas
akibat tekanan berpunca daripada serangan ibu bapa.
KANGAR:
Kongres Kesatuan Guru Kebangsaan (NUTP) mahu Kementerian Pendidikan
melaksanakan satu kod etika ‘Ibu Bapa’ dengan segera untuk melindungi
guru selain dapat mengharmonikan hubungan kedua-dua pihak.
Presidennya Kamarozaman Abd Razak berkata kod etika itu akan
memastikan maruah dan emosi guru tidak terjejas akibat tekanan berpunca
daripada serangan ibu bapa yang tidak berpuas hati terhadap mereka.
“NUTP membuat cadangan kepada Kementerian Pendidikan setahun lepas
tetapi sehingga kini tiada perkembangan. Oleh itu, kita perlu ambil
tindakan seperti dilaksanakan negara maju, bukan ambil tindakan apabila
berlaku musibah,” katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas majlis pelancaran CDERT (Pasukan
Tindak Balas Kecemasan Komuniti)-NUTP dan pemakaian pangkat pegawai
bersekutu CDERT-NUTP oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri
Shahidan Kassim malam tadi.
Kamarozaman berkata NUTP akan ambil tindakan proaktif dengan
mendapatkan maklum balas daripada ibu bapa, badan bukan kerajaan serta
membincangkan rangka kod etika itu bersama peguam sebelum dikemukakan
kepada Kementerian Pendidikan.
“Kebanyakan kes guru diserang ibu bapa berlaku di bandar. Walaupun
tidak banyak namun tetap memberi kesan kepada guru dan ‘penyakit’
tersebut boleh merebak menjadi lebih besar dan akhirnya hubungan antara
guru dan ibu bapa menjadi tidak harmoni,” katanya.
Mengenai Bajet 2018, beliau merayu kerajaan menambah peruntukan
penyelenggaraan sekolah memandangkan banyak sekolah terutama di luar
bandar berusia lebih 30 dan 20 tahun perlu diselenggara atau dibaik
pulih segera bagi menjamin keselamatan pelajar dan guru.
“Untuk melaksanakan transformasi dan melahirkan modal insan
berkualiti, pendidikan amat penting,” katanya dan menambah peruntukan
RM600 juta untuk penyelenggaraan 10,600 sekolah di seluruh negara dalam
Bajet 2017 tidak mencukupi.
Sementara itu, Shahidan berkata penubuhan CDERT di peringat NUTP akan
melancarkan operasi bantuan di peringkat komuniti kerana guru banyak
terlibat dengan masyarakat.
“Kita mempunyai aset yang perlu digerakkan semasa bencana dan NUTP
dengan keahlian lebih 200,000 orang, kita mampu lancarkan operasi
bantuan,” tambahnya.
Shahidan berkata Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) mampu memberi latihan termasuk hal keselamatan.
FMT
No comments:
Post a Comment