Usaha mencari ahli keluarga kedua-dua mangsa warga
Myanmar itu amat penting untuk memastikan sama ada mangsa beragama Islam
atau Buddha.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam
Sekitar Negeri, Phee Boon Poh berkata mayat kini ditempatkan di Hospital
Pulau Pinang.
Beliau berkata pihaknya sedang bekerjasama rapat dengan Pejabat
Kedutaan Myanmar di Malaysia dan pemaju projek terbabit bagi mengesan
keluarga kedua-dua mangsa.
“Kerajaan negeri memberi tempoh sebulan kepada Kedutaan Myanmar
menguruskan prosedur menuntut kedua-dua mayat ini sebelum proses lanjut
dilakukan.
“Setakat ini kami sedang menguruskan prosedur menghantar pulang 5
jenazah warga Bangladesh yang turut terbabit dalam tragedi itu. Proses
menghantar pulang dijangka selesai hujung minggu ini,” katanya kepada
pemberita hari ini.
Dalam insiden Sabtu lepas, kejadian tanah runtuh di tapak projek
berkenaan meragut nyawa 11 pekerja terdiri daripada seorang rakyat
tempatan, 5 Bangladesh, 2 Indonesia, 2 Myanmar dan seorang Pakistan
apabila ditimbus tanah lereng bukit yang runtuh.
Ketika kejadian pada pukul 8.57 pagi, kesemua mereka sedang bekerja di tapak projek pembinaan rumah mampu milik itu.
Sehingga kini 9 mayat mangsa tragedi tanah runtuh itu sudah dituntut
waris masing-masing iaitu 5 mayat warga Bangladesh, seorang mayat warga
Pakistan, 2 mayat warga Indonesia dan seorang mayat rakyat tempatan.
Phee berkata usaha mencari ahli keluarga kedua-dua mangsa warga
Myanmar itu amat penting untuk memastikan sama ada mangsa beragama Islam
atau Buddha.
“Dalam tempoh sebulan jika mayat masih belum dituntut kami akan
menguruskan mayat-mayat terbabit. Jika mayat itu bukan beragama Islam,
kami akan bakar mayat itu dan abunya ditempatkan di satu kuil. Jika
waris datang tuntut kita akan serahkan abu itu kepada mereka.
“Jika mayat terbabit beragama Islam kita serahkan kepada Majlis Agama
Islam Negeri Pulau Pinang untuk menguruskan urusan pengebumian,”
katanya.
FMT
No comments:
Post a Comment