Khairy Jamaluddin berkata, serangan di media sosial
perlu bersandarkan fakta, bukannya menyentuh peribadi lawan bagi
mengelakkan rakyat simpati kepada mereka.
KUALA
LUMPUR: Ketua Pemuda Umno menasihatkan tentera siber parti itu
menggunakan pendekatan lebih santai dan mencuit hati bagi menarik
perhatian rakyat untuk memahami mesej yang cuba disampaikan serta
mematahkan hujah lawan di media sosial.
Khairy Jamaluddin berkata, penjenamaan diri dan ketulenan juga
memainkan peranan penting dalam media sosial untuk mendekatkan rakyat
dengan Umno.
“Cuba jadi kelakar. Kita kena wujudkan suasana kelakar. Istilah yang
diberi kepada saya adalah abah…Tok Mat orang panggil ‘James Bond’,”
katanya merujuk Pengerusi Jawatankuasa Biro Teknologi Maklumat dan Media
Sosial Umno, Datuk Ahmad Maslan.
“Mana-mana saya pergi, orang panggil saya abah…’Abah we love you’.
Kita main dengan label tersebut. Ada ‘branding’. Bila ada jenama dalam
media sosial, senanglah rakyat ‘relate’ dengan kita,” katanya di depan
3,000 tentera siber pada Konvensyen Media Sosial Umno hari ini.
Mengambil contoh jenama “NGAM” merujuk “Nasi Goreng Ahmad Maslan”,
Khairy berkata, itu adalah ketulenan Ahmad yang menjadikan ahli Parlimen
Pontian itu popular dalam kalangan pengguna media sosial.
“Masak nasi goreng pun kelakar…1 Malaysia kenal nasi goreng Ahmad
Maslan. Kita kena ‘authenthic’. Rakyat nampak suka dengan kita. Ini
bukan pemimpin poyo tapi pemimpin tulen.”
Menteri belia dan sukan itu berkata, serangan di media sosial tidak
seharusnya menyentuh peribadi lawan, sebaliknya bersandarkan fakta.
Beliau berkata, serangan peribadi terhadap lawan hanya akan memberi
kelebihan buat mereka kerana ia akan menimbulkan rasa simpati rakyat.
“Jangan sekali-kali kita bersifat peribadi. Rakyat tak suka. Serangan
atas fakta dan dasar, kalau kita bersifat peribadi, saya yakin ia tidak
disenangi rakyat.
“Termasuk lawan kita…kita lawan hipokrasi mereka, tapi jangan buat
serangan peribadi kerana itu boleh membina perasaan simpati kepada
mereka,” kata.
Ahli Parlimen Rembau itu turut mengingatkan tentera siber Umno supaya tidak mudah melenting dengan kecaman.
“Jangan melenting…dalam media sosial tiap-tiap hari kena kecam. Isu kementerian, isu nasional…kita kena ‘cool’.
“Kalau kita melenting, itu jadi isu kedua. Kecaman ini memang hebat.
Kita kena ‘cool’ baru jawab. Jawab dengan fakta. Sebab jawapan itu akan
diguna terhadap kita.”
Katanya, tentera siber Umno boleh menjadikan reaksi positif orang
ramai sebagai idea untuk menarik perhatian pengguna media sosial.
“Kalau kita tiada idea dalam sesuatu isu, bajet contohnya. Kita nak cakap sesuatu tapi tak tahu, kita buat ‘research’ sikit.
“Kita baca komen orang dan tengok mana paling banyak ‘thumbs-up’.
Kalau masuk akal kita cedok, ‘copy and paste’ ubah sikit guna ayat kita
dan komen itu akan viral juga. Tak susah. Guna komen popular,” katanya.
FMT
tapi siber hamno ramai yang kaki auta yang fakta pun dia tak tahu memang lah kelakar.kalau dah pemimpin pun tak ada sijil apa benda yang nak di pertahankan???
ReplyDelete