Sunday, December 24, 2017

‘70% kedai tutup selepas kubur beramai-ramai ditemui di Wang Kelian’

 | December 24, 2017
Pegawai pelancongan Tourism Malaysia Perlis berkata, keadaan di Wang Kelian sempadan Malaysia-Thailand lengang sejak kelonggaran pengunjung keluar masuk sempadan tanpa pasport pada hujung minggu dihentikan.
wang-kelian
PETALING JAYA: Wang Kelian di Perlis yang dahulunya menjadi tumpuan pengunjung setiap hujung minggu, kini ibarat hidup segan mati tak mahu sejak penutupan zon aliran bebas pada 1 April 2015, susulan penemuan kubur beramai-ramai, kata pegawai pelancongan Tourism Malaysia Perlis.

Pelaksanaan zon aliran bebas di sempadan Malaysia-Thailand sejak 1993, memudahkan rakyat kedua-dua negara serta pelancong asing keluar masuk pos imigresen tanpa pasport sejauh 1km di Wang Kelian dan Wang Prachan, Satun setiap Jumaat, Sabtu dan Ahad.

Sharol Rizal Ahmad berkata, penutupan zon aliran bebas atas faktor keselamatan lebih 2 tahun itu menyebabkan hampir 70% premis di kawasan sempadan 2 negara jiran itu terpaksa ditutup kerana peniaga menanggung kerugian besar akibat tiada pelanggan.

“Sejak kerajaan membekukan kemudahan zon aliran bebas, pengunjung terpaksa menggunakan dokumen perjalanan sah (pasport) untuk membeli-belah di kedua-dua negara dan peraturan ketat juga dikenakan, sekaligus merumitkan pengunjung yang datang.

“Jumlah pelancong dan pengunjung yang pergi ke sana memang terjejas sebab secara tidak langsung aktiviti di sana yang agak rancak sebelum arahan pembekuan, sudah berkurangan,” katanya kepada FMT.
Pembekuan zon aliran bebas dikuatkuasakan susulan penemuan 130 mayat mangsa pemerdagangan manusia pada 2015.

Isu itu kembali menjadi tumpuan media Selasa lalu, susulan laporan New Straits Times (NST) yang mendakwa polis tahu mengenai kubur beramai-ramai di kawasan hutan sempadan Thailand-Malaysia itu seawal Januari 2015, tetapi polis hanya mengumumkan penemuan itu pada 25 Mei tahun sama.

Akhbar itu melalui siasatan 2 tahun turut mendakwa kawasan terbabit dibersihkan sehingga membinasakan pelbagai bukti jenayah, selain pelbagai laporan sengaja dicantas, dan hasil temubual dengan pelbagai sumber mendapati banyak perkara disorokkan dalam siasatan rasmi.

Henti pembekuan zon aliran bebas
Sharol Rizal berharap kerajaan melalui Kementerian Dalam Negeri menarik balik pembekuan zon aliran bebas secepat mungkin bagi menghidupkan kembali keadaan suram di Wang Kelian sejak 2 tahun lalu.

Katanya, tindakan itu bukan sahaja menguntungkan peniaga setempat, tetapi juga dapat menarik pelancong dari dalam dan luar negara berkunjung ke sana.
“Kami harap sekiranya pembekuan itu dapat diatasi dengan segera, secara tidak langsung peningkatan pelancong juga akan meningkat dan aktiviti di sekeliling Wang Kelian juga akan berjalan rancak,” katanya.

2 comments:

  1. ingin wujudkan impian anda , raih kesempatan dan menangkan ratusan juta rupiah hanya di ionqq,silakan invite
    pin bb#58ab14f5

    ReplyDelete
  2. ingin wujudkan impian anda , raih kesempatan dan menangkan ratusan juta rupiah hanya di ionqq,silakan invite
    pin bb#58ab14f5

    ReplyDelete