Dr Mahathir yang pernah dipersalahkan kerana
menjejaskan kuasa badan kehakiman berkata PPBM mahu kembalikan dasar di
mana perdana menteri tidak boleh menguasai Parlimen dan mahkamah.
SHAH
ALAM: Pengerusi PPBM Tun Dr Mahathir Mohamad tekad memulihkan doktrin
pemisahan kuasa jika Pakatan Harapan menang pilihan raya umum akan
datang.
Bekas perdana menteri itu, yang pernah dipersalahkan kerana
menjejaskan kuasa badan kehakiman, berkata PH akan kembalikan dasar di
mana badan eksekutif tidak boleh menguasai badan legislatif dan badan
kehakiman, termasuk keneutralan perkhidmatan awam.
“Pengasingan kuasa antara pembuat undang-undang, pelaksana,
penghakiman akan dikembalikan, khususnya perdana menteri tidak boleh
kuasai pentadbir dan kehakiman.
“Ketiga-tiga pihak ini tidak boleh campur tangan dalam urusan
masing-masing,” katanya kepada 941 perwakilan PPBM sempena mesyuarat
agung kali pertama parti itu di Pusat Konvensyen Ideal Shah Alam (IDCC)
hari ini.
Dr Mahathir, yang juga pengerusi PH, berkata antara langkah yang akan
diambil termasuk melakukan melakukan perubahan dalam cara perlantikan
para pegawai tinggi kerajaan tertentu, seperti penubuhan jawatankuasa
Parlimen untuk meneliti kelayakan dan pelucutan.
“Ia untuk memastikan kelayakan mereka sebelum dikemukakan kepada Yang
di-Pertuan Agong untuk dilantik. Jawatankuasa pemilih akan dianggotai
wakil kerajaan dan parti lawan.
“Mereka juga tidak boleh dilucutkan jawatan sebelum dihadapkan kepada
jawatankuasa pemilih untuk menentukan sebab-sebab lucutan dicadangkan,”
katanya di hadapan 941 perwakilan.
Dr Mahathir berkata lembaga perubatan juga akan menentukan kesihatan
seseorang pegawai yang dikatakan jatuh sakit sebelum membenarkan
peletakan jawatan.
“Jika mereka jatuh sakit, sebuah medical board akan tentukan
kesihatan mereka, sama ada benar-benar tidak boleh lagi bekerja. Perdana
menteri tidak boleh tipu Agong berkenaan kesihatan pegawai atau hakim,”
katanya.
Isu warga asing
Pada masa sama, Dr Mahathir berkata PPBM mahu mengurangkan kehadiran
pendatang asing daripada 7 juta orang kepada 2 juta orang, dan
mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing melalui skim latihan
dan galakan warga tempatan.
Pelaburan yang memerlukan pekerja asing akan dikurangkan, dan cukai tidak akan dikecualikan ke atas pengambilan pekerja asing.
Beliau menambah dasar industri negara akan utamakan peluang pekerjaan
kepada warganegara, dan jika perlu, perlindungan akan diberi kepada
industri baru sehingga berdaya saing.
Dasar mengutamakan warganegara juga diguna pakai untuk tenaga kerja
dan pengurusan kilang daripada pelaburan langsung asing, melainkan ada
sebab-sebab tertentu.
“Demikian juga bekalan bahan dan komponen ini jika terdapat dalam
negara,” katanya, dan menambah pembelian tanah untuk mendirikan bandar
untuk pendatang asing tidak termausk dalam takrif pelaburan langsung
asing.
“Sementara kita bersedia menerima masuk warga baru dari negara lain,
jumlahnya hendak tidak meninggkat tinggi sehingga mengubah secara
radikal agihan peratusan warga negara berbagai kaum di Malaysia.”
Konvensyen hari ini merupakan yang mesyuarat agung pertama PPBM sejak
penubuhannya diluluskan pada September 2016. PH sedang bersiap sedia
menghadapi pilihan raya umum ke-14 yang perlu dipanggil selewat-lewatnya
pertengahan tahun depan.
FMT
ingin wujudkan impian anda , raih kesempatan dan menangkan ratusan juta rupiah hanya di ionqq,silakan invite
ReplyDeletepin bb#58ab14f5