Dr Mahathir failkan permohonan itu atas alasan RCI
itu mencabuli keadilan asasi kerana Mohd Sidek dan Saw anggotai petugas
dalam siasatan dan kemuka syor agar RCI itu ditubuhkan.
PUTRAJAYA:
Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini gagal dalam
rayuannya mencabar pelantikan pengerusi dan seorang anggota Suruhanjaya
Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat kerugian urus niaga mata wang asing
dialami Bank Negara pada 1990-an.
Panel 3 anggota Mahkamah Rayuan diketuai Hakim Datuk Mohd Zawawi
Salleh menolak rayuan Dr Mahathir terhadap keputusan Mahkamah Tinggi
yang tidak membenarkan permohonan beliau mendapatkan semakan kehakiman
bagi menolak keputusan RCI mengetepikan permohonannya membatalkan
pelantikan pengerusi RCI Tan Sri Mohd Sidek Hassan dan seorang daripada
anggotanya Tan Sri Saw Choo Boon.
Mohd Zawawi yang mempengerusikan rayuan itu bersama-sama Hakim Datuk
Abdul Rahman Sebli dan Datuk Abdul Karim Abdul Jalil berkata, mahkamah
berpendapat terdapat beberapa kekangan dan halangan dari segi
undang-undang sekiranya panel itu membenarkan rayuan tersebut.
“Kami sebulat suara memutuskan rayuan berkenaan tidak mempunyai merit
dan oleh itu menolaknya,” kata Mohd Zawawi serta memerintahkan Dr
Mahathir membayar kos RM10,000 kepada kerajaan.
Terdahulu, peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla yang mewakili Dr
Mahathir, dalam hujahnya berkata kes berkenaan boleh dibuat penghujahan,
oleh itu perlu diberi perbicaran penuh secara semakan kehakiman.
Beliau berkata permohonan itu mengikut batas undang-undang dan oleh
demikian, rayuan mendapatkan semakan kehakiman wajar dibenarkan.
Bagaimanapun, peguam kanan persekutuan Alice Loke dalam hujahnya
berkata permohonan Dr Mahathir itu hanya bersifat akademik memandangkan
RCI telah selesai membuat laporannya serta dibentangkan di Parlimen.
“Dalam kes ini, memandangkan kedua-dua mereka (pengerusi dan seorang
daripada anggota RCI) telah selesai melaksanakan tugas mereka, maka
tiada gunanya lagi mencabar komposisi suruhanjaya itu.
Beliau juga berhujah bahawa permohonan untuk mengetepikan pengerusi
dan anggota suruhanjaya itu tidak wajar dibenarkan kerana dilantik oleh
Yang di-Pertuan Agong.
Dr Mahathir memfailkan permohonan berkenaan pada 9 Ogos bagi
mengetepikan keputusan RCI pada 8 Ogos untuk membatalkan pelantikan Mohd
Sidek dan Saw sebagai anggota suruhanjaya itu.
Beliau menamakan anggota RCI, Mohd Sidek yang juga pengerusi
Petronas, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Wira Kamaludin Md Said, ketua
pegawai eksekutif Bursa Malaysia Datuk Seri Tajuddin Atan, Saw, yang
merupakan pengerusi bersama Pasukan Petugas Pemudahcara Perniagaan
(Pemudah), anggota Institut Akauntan Malaysia K Puspanathan, setiausaha
RCI Datuk Dr Yusof Ismail dan kerajaan Malaysia sebagai responden.
Dalam permohonannya, Dr Mahathir juga menuntut satu perintah mandamus
agar kerajaan atau Kabinet menasihati Yang di-Pertuan Agong membatalkan
pelantikan Mohd Sidek dan Saw sebagai anggota RCI itu.
Dr Mahathir memfailkan permohonan itu atas alasan RCI berkenaan
mencabuli keadilan asasi kerana Mohd Sidek dan Saw juga menganggotai
pasukan petugas bertanggungjawab dalam siasatan serta mengemukakan syor
agar Kabinet menubuhkan RCI itu.
Pada 17 Ogos, Hakim Mahkamah Tinggi Datin Azizah Nawawi, ketika
menolak permohonan kebenaran Dr Mahathir, memutuskan keputusan RCI itu
betul dan panel berkenaan tidak mempunyai bidang kuasa atau kuasa
tentang pelantikan dan/ atau pemecatan anggotanya.
Katanya, RCI itu membuat keputusan betul apabila tidak membenarkan
permohonan Dr Mahathir untuk membatalkan pelantikan Mohd Sidek dan Saw.
FMT
ayo bergabung diajoqq , silakan coba keberuntungan anda disini dan menangkan ratusan juta rupiah,hadiah menantikan
ReplyDeleteanda silakan bergabung invite pin bb#58cd292c