Saturday, December 16, 2017

Satu persatu jari saya dipotong

Satu persatu jari saya dipotong
Nik Hassan diuruskan sepenuhnya oleh isteri, Hasiah Saat, di mana dia hanya mampu berada di atas kerusi roda sahaja kerana luka pada kakinya masih belum sembuh. 
 
(Ubah saiz teks)
GUA MUSANG - ‘Semua salah saya sebab tak jaga pemakanan,” itulah kata-kata penyesalan yang diluahkan seorang penghidap kencing manis kronik di Felda Chiku 3, di sini.

Bagi Nik Hassan Ismail, 62, satu masa dahulu, saat masih belum diuji dengan masalah kesihatan, apa sahaja hidangan yang lalu di depan mata semuanya menjadi habuan nafsunya.

Katanya, akibat gagal mengawal corak pemakanan yang seimbang dan sihat, pada usia 40 tahun, bekas penyelia kawasan Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) ini mula disahkan menghidap kencing manis.

“Pada masa itu, doktor sudah sahkan saya menghidap kencing manis namun ia masih boleh dikawal jika saya jaga makan. Namun nasihat itu hanya awal sahaja menjadi ikutan dan selepas itu saya kembali kepada pola pemakanan yang teruk.

“Bayangkan, pada jam 3 pagi, saya boleh menelan makanan bergoreng seperti mi dan bihun goreng. Tapi, dalam minuman, saya tidak terlalu memilih gula kerana saya lebih suka teh o kosong tanpa gula,” katanya.
Tambah Nik Hassan, pada November 2014, dia dimasukkan ke wad apabila kondisi penyakitnya itu merebak sehingga memaksa doktor memotong jari kaki kanannya.

“Pada 25 November, satu jari saya dipotong, tiga hari kemudian, satu lagi dipotong dan doktor memberitahu, dua jari lari sudah tidak berfungsi. Mendengar penjelasan daripada doktor, saya menyuruh mereka memotong kesemua lima jari saya kerana bagi saya satu yang tinggal itu bagaikan tidak sempurna.

“Selepas setahun, penyakit saya kembali pulih namun akibat makan tidak berpantang, ia kembali menyerang. Masa itu, sebut sahaja apa jenis ubat termasuk tumbuhan dan ubat-ubatan klinik, semua saya cuba namun tidak berkesan.

“Ramadan lalu, tapak kaki saya mula mengeluarkan air bisa dan darah beku menyebabkan saya sekali lagi ditahan di hospital apabila dikesan ia mula merebak hingga ke bahagian betis,” katanya lagi.

Pakej datang dengan serangan jantung, paru-paru berair

Ketika ditahan wad ketika itu, Nik Hassan memberitahu, doktor mengesahkan penyakit lain turut dihidapinya iaitu serangan jantung dan paru-paru berair.
“Apabila disahkan paru-paru berair, saya memilih jalan alternatif iaitu menghisap rokok hingga empat kotak sehari sebagai usaha ‘mengeringkan’ paru-paru. Namun, ia tidak berhasil malah merugikan saya.

“Pada Julai lalu, doktor beritahu kaki saya perlu dipotong hingga ke paras lutut, namun pembedahan tidak dapat dilakukan kerana darah saya tidak stabil. Lagipun, keadaan tulang masih baik.

“Lalu mereka memilih untuk membelah betis saya dan mengeluarkan darah dan nanah. Pada 13 Julai, betis saya dibelah namun hingga kini, ia masih belum sembuh sepenuhnya,” katanya yang perlu mencuci luka di tapak kaki dan betis setiap empat hari sekali di Hospital Kuala Krai.

Kacip gigi setiap kali luka dicuci

Buat masa ini, Nik Hassan hanya mampu duduk di atas kerusi roda dan diuruskan sepenuhnya oleh isteri, Hasiah Saat, 54.
Dia tidak digalakkan untuk berjalan kerana dikhuatiri boleh menyebabkan daging di betisnya bergerak dan boleh melambatkan proses penyembuhan.

“Setiap kali cuci luka, saya akan pejam mata rapat-rapat dan kacip gigi kerana terlalu sakit. Hanya yang alami sahaja akan tahu bagaimana peritnya proses ini.
“Saya memang kesal kerana tak jaga makan dan saya minta orang lain di luar sana agar tidak meremehkan soal pemakanan. Jaga pemakanan kalau tak nak jadi macam saya.

“Kadang-kadang, saya terlalu tertekan sehingga mengeluarkan air mata, malah ada juga saya hanya bercakap dengan burung kerana terlalu sunyi,” katanya sambil mengesat air mata.

Pengalaman arwah ibu beri keinsafan

Sementara itu di PASIR PUTEH, pengalaman seorang anak menjaga ibu yang menghidap penyakit kencing manis serius cukup menginsafkan dan memberi pengajaran berguna untuk dikongsi kepada semua orang.

Penduduk Kampung Jerus, Abdul Ghani Hassan, 53, berkata, ibunya, Suteh Daud meninggal dunia pada usia 88 tahun, April lalu, namun pengalaman yang dikongsikan ketika hayatnya sebagai pesakit kronik itu cukup bernilai.

“Ibu saya pernah beritahu, dia terdengar nada putus asa saudara mara yang menziarahinya di hospital ketika dia tersedar dari koma akibat kencing manis serius tahun 2005, tetapi dia kuatkan semangat.
“Selepas itu dia dapat menjalani kehidupan seperti biasa untuk tempoh yang lama walaupun kaki kanannya terpaksa dipotong. Dalam keadaan begitu pun, dia terus berbakti kepada masyarakat dengan mengajar anak-anak kampung mengaji al-Quran,” katanya.Abdul Ghani berkata, dia berusaha menjaga ibunya sebaik mungkin walaupun ada ketikanya terpaksa mengusungnya ke sana-sini termasuk ketika berpindah hospital.

“Apa yang saya lakukan ini terlalu kecil jika dibandingkan dengan pengorbanannya kepada saya, tetapi hanya itu yang mampu saya lakukan, semoga rohnya ditempatkan bersama orang yang beriman,” katanya.

Kaki berkudis, berbau

Katanya, walaupun dalam keadaan sakit dengan kaki berkudis dan berbau sehingga sanak saudara tidak mahu mendekatinya, ibunya tetap bersemangat meneruskan kehidupan.

“Saya tidak dapat bayangkan penderitaan yang dialaminya, seperti tidak tertanggung oleh kita jika sakit itu menyerang kita tetapi dia mempunyai kekuatan luar biasa dalam menghadapi semua ini.
“Ia memberi pengajaran kepada kita untuk memberi perhatian kepada pengambilan makanan dan tidak mudah mengalah walaupun disahkan menghidap penyakit kronik,” katanya.

2 comments:

  1. ingin wujudkan impian anda , raih kesempatan dan menangkan ratusan juta rupiah hanya di ionqq,silakan invite
    pin bb#58ab14f5

    ReplyDelete
  2. ayo bergabung diajoqq , silakan coba keberuntungan anda disini dan menangkan ratusan juta rupiah,hadiah menantikan
    anda silakan bergabung invite pin bb#58cd292c

    ReplyDelete