Tuesday, January 30, 2018

Dr M pemimpin bagus, lebih istimewa daripada saya, kata Ku Li

tengku-li-3
SHAH ALAM: Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah ialah anak menteri besar Kelantan pertama selepas negara merdeka, dan antara kerabat diraja paling dikenali.
Beliau juga dikenali sebagai Ku Li, walaupun panggilan itu sama bunyi dengan perkataan kuli bermaksud buruh kasar, tetapi gelaran itu dibawa ahli Parlimen paling lama berkhidmat di negara ini dengan penuh bangga.

“Tidak, saya yang paling lama berkhidmat di dunia. Tiada orang lain melakukannya secara berterusan selama 45 tahun,” katanya berseloroh merujuk tempoh perkhidmatannya sebagai ahli Parlimen di negara ini, dalam wawancara bersama FMT baru-baru ini.

Pada usia 81, Ku Li yang mendirikan rumah tangga lebih lambat daripada ahli politik lain di zamannya, masih tampak bertenaga, dengan perwatakannya yang suka berjenaka dan tenang.
Begitu juga ketika beliau berjenakan ketika mengimbau peristiwa paling mencabar buat dirinya 30 tahun lalu, iaitu apabila bersaing dengan Tun Dr Mahathir Mohamad merebut jawatan presiden dalam pemilihan Umno.

Saingan sengit pada April 1987 itu menyaksikan Ku Li tewas kepada Dr Mahathir dengan hanya 43 undi. Ia menjadi cubaan terakhirnya untuk kembali ke Kabinet – malah untuk menduduki jawatan tertinggi – setelah bertahun-tahun beliau dibawa masuk ke dalam kerajaan Tun Abdul Razak Hussein, bapa perdana menteri sekarang, Datuk Seri Najib Razak.

Beliau paling diingati dalam peranannya menubuhkan Semangat 46, parti yang diasaskannya sebelum pilihan raya umum (PRU) 1990 dan bekerjasama dengan beberapa parti pembangkang utama ketika itu seperti PAS, DAP dan Parti Bersatu Sabah (PBS).

“Saya tidak berada dalam pembangkang,” kata Ku Li yang kembali ke Umno pada 1996.
“Saya dipaksa melawan kerana saya tidak dibenarkan menjadi ahli Umno Baru yang ditubuhkan Dr Mahathir. Dia tidak suka saya, jadi dia tidak benarkan saya masuk.”

Umno Baru adalah ubat segera Dr Mahathir selepas parti asal itu diisytiharkan haram berikutan petisyen 11 individu yang bersekutu dengan Ku Li dalam kumpulan yang dinamakan Team B, beberapa bulan selepas kekalahannya.
Hari ini, keadaan seolah-olah berubah. Ku Li masih bersama Umno, tetapi Dr Mahathir kini melawan parti itu dari luar menerusi PPBM. Seperti Semangat 46, PPBM juga berasaskan Melayu.

Ku Li bagaimanapun tidak selesa dengan perbandingan itu kerana beliau “terpaksa membentuk Semangat 46”, tidak seperti Dr Mahathir yang “keluar secara marah”.

Pemimpin bagus, pasukan teruk
Ku Li yang 10 tahun lebih muda daripada Dr Mahathir, tidak kagum dengan pasukan pemimpin di bawah parti Dr Mahathir kini.
“Dr Mahathir seorang pemimpin yang bagus, tetapi dia tiada pasukan yang betul bersamanya. Ia sangat sukar, ia tidak teratur kerana mereka tidak mempunyai kepimpinan.”

Ditanya apa nasihatnya kepada Dr Mahathir, selaku orang yang berpengalaman melawan Umno, Ku Li menjawab: “Dia lebih bagus daripada saya. Saya tidak rasa dia mahu dengar apa yang saya perlu katakan.
“Siapalah saya berbanding dia?”

Ku Li ialah pengerusi pertama Petronas dan menjawat menteri kewangan dari 1976 hingga 1984, setahun sebelum negara menghadapi kemelesetan ekonomi paling teruk.
Beliau sudah merasakan cukup dengan pencapaiannya dalam politik. Mana tidak, beliau sudah memenangi PRU sebanyak 11 kali, dengan kali terakhir pada 2013.
Ku Li ditanya sama ada akan bertanding pada PRU akan datang.

“Saya tidak tahu, saya mahu bersara. Saya benar-benar ingin bersara. Saya telah berkhidmat selama 45 tahun (sebagai ahli Parlimen), dan lebih 60 tahun dalam parti,” katanya sambil menambah beliau sudah berusia 81 tahun dan tidak berharap untuk hidup lebih lama.

Mengenai Dr Mahathir yang berusia 93 tahun dan masih aktif berpolitik.
“Dia istimewa! Jika dia tidak istimewa, saya tidak akan melawannya,” katanya yang meninggikan suara sedikit, mungkin berharap mengakhiri temubual itu.
Beliau diasah lagi, dan diajukan soalan sama ada masih akan menerima jawatan tertinggi yang pernah hampir dikecapinya.

“Sekiranya ia adalah kehendak rakyat untuk menyelamatkan negara daripada kehancuran, maka seseorang itu harus akur, tidak kira betapa sukar sekalipun,” katanya ketika ditanya jika beliau akan menerima tawaran menjadi perdana menteri.

Berikut petikan wawancara FMT bersama Ku Li:
Mengenai Dr Mahathir
FMT: Apakah nasihat anda kepada Dr Mahathir jika bertemu beliau hari ini?
Ku Li: Dia lebih bagus daripada saya. Saya tidak rasa dia mahu dengar apa yang saya perlu katakan.
FMT: Adakah anda kata Dr Mahathir lebih bagus daripada anda?
Ku Li: Mestilah dia lebih bagus. Dia ada pengalaman 22 tahun sebagai perdana menteri. Dia telah melihat dunia, dia pernah runding perjanjian untuk negara, untuk parti. Siapalah saya berbanding dia?
FMT: Adakah Dr Mahathir boleh memberi impak?
Ku Li: Jawapan saya ya, boleh kerana pengalaman, pengetahuan luas tentang mengurus dan mengendalikan sesuatu. Sama ada dia akan berjaya, saya tak tahu. Dia tidak ada pasukan macam pasukan saya dalam Semangat 46.
FMT: Bagaimanakah anda membandingkan “Team B” anda dengan barisan menteri Umno sekarang?
Ku Li: Najib pembantu saya ketika itu (ketawa).
Mengenai persaraan daripada politik
FMT: Adakah anda akan bertanding pada pilihan raya?
Ku Li: Saya tidak tahu. Saya mahu bersara. Saya benar-benar ingin bersara. Saya telah berkhidmat selama 45 tahun (sebagai ahli Parlimen), dan lebih 60 tahun dalam parti.
FMT: Tetapi bagaimana kalau mereka mencari anda apabila Parlimen tergantung?
Ku Li: Entahlah. Itulah yang mereka lakukan pada pilihan raya lalu. Saya sepatutnya bersara sebelum pilihan raya umum ke-13. Saya mahu berundur. Saya kini berusia 81 tahun. Berapa lama lagi anda mahu hidup?
FMT: Ada seorang lelaki berusia 93 tahun yang mengembara seluruh negara…
Ku Li: Dia istimewa! Jika dia tidak istimewa, saya tidak akan melawannya (ketawa).
FMT: Jadi apa rancangan Tengku Razaleigh selepas bersara?
Ku Li: Saya boleh melakukan banyak perkara. Mungkin berehat atau terlibat dalam kerja amal. Saya tidak berminat dengan wang. Saya tidak menerima sebarang pelantikan sejak saya berhenti menjadi menteri kewangan. Saya juga tidak menganggotai lembaga pengarah syarikat. Saya tidak mahu ke sana sini bagi pihak taikun dari London atau Jepun, untuk bertemu menteri ini dan pegawai itu. Bukannya kerana saya orang besar. Saya boleh hidup dengan pendapatan saya, tidak ada masalah. Saya tidak mencuri, saya tidak menipu.
FMT: Anda tidak terima sumbangan?
Ku Li: Tidak. Saya tidak pernah meminta derma. Saya selalu bertanding untuk pilihan raya dengan wang sendiri.

No comments:

Post a Comment