Dr Mahathir berkata orang seperti itu tidak akan dapat membezakan calon dan parti yang bertanding pada pilihan raya umum nanti.
PUTRAJAYA: Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkata hanya orang jahil
membandingkan PH dan Barisan Nasional seperti membandingkan minuman soda
popular Coca-Cola dan Pepsi.
Tun Dr Mahathir Mohamad berkata orang seperti itu tidak mungkin dapat
membezakan calon dan parti yang bertanding pada pilihan raya umum
nanti.
“Mustahil kita akan maju. Tak hairanlah jika kita tidak akan undi dalam PRU14,” katanya dalam kenyataan hari ini.
“Jika memilih antara Pepsi dengan Coca-Cola pun kita tak dapat, apatah lagi antara BN dengan PH.”
Sebelum ini, seorang aktivis Badrul Hisham Shaharin mempertikaikan
tindakan PH memilih Dr Mahathir sebagai calon perdana menteri melawan
calon pilihan BN, Datuk Seri Najib Razak.
“Dua-duanya kencing manis, potong kaki,” kata Badrul di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur 12 Januari lalu.
Di internet dan media sosial, timbul seruan merosakkan kertas undi
dalam kalangan mereka yang dikatakan kecewa dengan calon perdana menteri
PH.
Dr Mahathir akui terkejut apabila diberitahu PRU14 tidak lebih dari memilih antara Pepsi dan Coca-Cola.
“Oleh itu, apa perlunya kita mengundi? Begitu rendahkah kebolehan kita berfikir dan membuat bandingan,” katanya.
Pengerusi PH menggunakan cara perbandingan yang sama untuk mematahkan hujah itu.
“Mana-mana sahajalah. Apa bezanya antara Proton dengan Rolls-Royce?
Kedua-duanya kereta bermotor, tak lebih dari itu. Keputusan yang dibuat
ialah untuk tidak membeli Proton atau Rolls Royce.
“Kereta bermotor boleh terlibat dengan kemalangan. Adalah lebih baik
berjalan kaki. Tetapi semasa melintas jalan sahabat ini tergilis dengan
sebuah kereta Rolls Royce. Dia tak tahu kerana dah maut, sebenarnya
Rolls-Royce dipandu pencuri kereta itu,” katanya.
No comments:
Post a Comment