Seorang AJK PAS Pusat berkata ia akan memilih parti yang serasi dengan "perjuangan Islam".
PETALING
JAYA: Seorang pemimpin PAS enggan menjawab sama ada PAS akan menyertai
Umno dan Barisan Nasional (BN) untuk membentuk kerajaan dengan kerusi
yang dimenanginya pada pilihan raya umum akan datang.
Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Azman Ibrahim berkata ia akan
hanya diketahui selepas PRU, tetapi berkata PAS akan memilih rakan yang
serasi dengan perjuangan PAS.
“Langkah ke seberang jambatan dulu baru kita bincang,” katanya dalam
penulisan diterbitkan portal rasmi parti Harakahdaily, menjawab beberapa
pertanyaan lazim mengenai hala tuju PAS.
Menurutnya, PAS membuat keputusan berdasarkan “dosa pahala” dan “adab-adab persahabatan”.
“PAS ada pertimbangan yang sangat matang serta cukup kenal, siapa
yang lebih berminat dengan Islam yang menjadi dasar perjuangan PAS.
Tentunya kebaikan kepada rakyat dan negara adalah neraca utama yang
menjadi ukuran PAS,” katanya.
Sebelum ini, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata
pihaknya mendapati lebih senang mengadakan kerjasama dengan Umno di
bawah Datuk Seri Najib Razak, berbanding ketika zaman Tun Dr Mahathir
Mohamad menjadi perdana menteri.
“Kalau dulu zaman Dr Mahathir, dia hina Islam. Tutup aurat pun dia
kata bukan agama suruh, tetapi adat saja. Dia tak nak kita laksanakan
hukum Islam,” katanya dalam wawancara bersama Berita Harian awal bulan
ini.
“Perdana menteri sekarang, kita boleh berbincang, kerana kita perlu
kepada perubahan. Kalau zaman Mahathir, dia tak mahu fikir kita nak
laksanakan Islam.”
PAS beberapa kali berkata ia akan meneruskan kerjasama dengan Umno “demi kepentingan ummah”.
Kedua-dua parti dilihat semakin mesra sejak muktamar 2015 yang
menyaksikan kebangkitan pemimpin pro-Hadi dan pengusiran pemimpin yang
mahu bekerjasama dengan PKR dan DAP
No comments:
Post a Comment