(Ubah saiz teks)
SHAH ALAM - Pertubuhan Jati (Jati) membantah permintaan Persatuan
Gabungan Jawatankuasa Sekolah Cina (Dong Zong) yang mahu kerajaan
membina lagi 34 sekolah rendah Cina di Malaysia.
Presidennya, Prof Datuk Dr Mohd Zainul Fithri Othman berkata, pihaknya
merasakan permintaan pembinaan 34 buah sekolah Cina adalah tidak wajar.
"Tindakan ini merupakan agenda politik yang boleh memudaratkan
keharmonian dan kesejahteraan negara, "katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata demikian bagi mengulas desakan Dong Zong yang mahukan lagi 34 buah sekolah Cina dibina di negara ini.
[ ARTIKEL BERKAITAN: Dong Zong minta 34 sekolah baharu ]
Sinar Harian sebelum ini melaporkan Dong Zong menerusi Presidennya
Datuk Vincent Lau berkata, walaupun sebelum ini kerajaan telah
meluluskan 10 sekolah rendah Cina baharu dan pemindahan enam sekolah
rendah Cina, namun jumlah ini masih belum mencukupi.
Mengulas lanjut, katanya tiada keperluan untuk menambah sekolah Cina di Malaysia buat masa ini.
"MCA telah pun meminta tambahan ini dan dalam bajet 2018 Kerajaan
Barisan Nasional telah bersetuju dan meluluskan 10 buah sekolah Sekolah
Jenis Kebangsaan Cina (SRJKC)," katanya.
Jelasnya, desakan MCA ini telah dilayan oleh kerajaan, namun permintaan
yang diminta oleh pihak mereka menunjukkan mereka terlalu mementing
diri dan sengaja menjadikan ini satu isu untuk memecah belahkan
keharmonian negara.
"Seharusnya puak puak ini bersama sama mengangkat Sekolah Kebangsaan
menjadi sekolah hebat dan bersifat mahu membina kesepaduan rakyat
melalui pendidikan dan bukan menuntut yang bukan bukan yang boleh
merenggangkan kesepaduan rakyat di negara ini," katanya.
Katanya, pihaknya melihat pendidikan SJKC diterima baik dalam sistem pendidikan di negara ini.
"Terdapat masih banyak lagi SJKC yang mengalami masalah kekurangan
murid. Terdapat banyak bilangan sekolah kebangsaan yang mencukupi untuk
menampung keperluan pendidikan rendah di kawasan yang tidak mempunyai
SJKC," katanya.
Justeru tegasnya, mereka berpendapat apabila kita bekerjasama, bertolak
ansur, tidak prejudis, tidak berfikiran sempit, tidak mementingkan diri
dan mewujudkan suasana ketegangan, maka semuanya akan berjalan dengan
baik.
"Kerajaan Malaysia tidak pernah mengenepikan isu pendidikan malah
sistem pendidikan kebangsaan yang sedia ada sudah terbukti berjaya
melahirkan golongan cerdik pandai yang diiktiraf di dalam negara dan
pada peringkat antarabangsa," katanya.
Oleh itu, katanya pihaknya menggesa kerajaan Malaysia agar tidak memenuhi permintaan mereka.
"Satu perbincangan meja bulat hendaklah dibuat agar pihak mereka diberi
penjelasan lanjut mengenai isu ini agar ia tidak akan berulang dan
menjadi satu isu politik semasa demi menjaga keharmonian negara,"
katanya
No comments:
Post a Comment