Cynthia Gabrielberkata, manifesto pilihan raya PH ialah “iltizam politik sangat besar”. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA: Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4)
mengalu-alukan matlamat Pakatan Harapan (PH) menghapuskan rasuah, tetapi
kurang pasti sejauh mana pakatan pembangkang itu bersedia melaksanakan
pembaharuan diperlukan sekiranya berjaya mengambil alih Putrajaya.
Pengarah Eksekutifnya, Cynthia Gabriel berkata, matlamat yang tertera
dalam manifesto PH untuk pilihan raya umum ke-14 (PRU14) adalah
“iltizam politik sangat besar.”
Beliau berkata, ini bermakna lebih banyak semak dan imbang boleh dilakukan dan pengurangan kuasa untuk parti pemerintah.
“Tidak ada kerajaan yang mahukan ini,” katanya.
Ia juga bermakna mengambil langkah bagi menjadikan institusi utama
lebih bebas, akses mudah kepada maklumat, pengisytiharan harta oleh ahli
politik dan kawal selia ke atas pembiayaan parti politik.
“Itu ialah apa yang kita perlukan. Badan kehakiman, polis dan
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang bebas mesti bersedia
mengambil tindakan terhadap pemimpin tertinggi negara, sekiranya perlu,”
katanya kepada FMT.
Cynthia berkata, kerajaan perlu bersedia berkongsi maklumat dengan
orang awam, termasuk dalam perkara seperti perjanjian perdagangan,
belanjawan kerajaan dan kontrak awam.
Katanya, langkah itu perlu bagi menghapuskan rasuah pada aras berstruktur.
Beliau berkata, pemilihan majlis tempatan perlu dikembalikan bagi
menghalang pelantikan “pak turut” daripada melaksanakan dasar hanya
kerana mereka memihak kepada parti pemerintah.
“Sekiranya mereka mewujudkan mekanisme sebegini, anda boleh
menghindari skandal rasuah besar berlaku, dan itu adalah langkah maju
yang boleh menghalang kedudukan kita merosot dalam Indeks Persepsi
Rasuah (CPI).”
Dalam manifesto PRU14 yang dilancarkan baru-baru ini, PH mengumumkan
matlamatnya menjadikan Malaysia antara 10 negara teratas paling kurang
korup dalam CPI Transparency International (TI) menjelang 2030.
Malaysia jatuh 7 tangga dalam CPI TI untuk 2017, dengan menduduki
tangga ke-62 daripada 180 negara berbanding kedudukan ke-55 pada 2016
dan 54 pada 2015.
Cynthia berkata, ada keperluan mengurangkan kuasa kepada seorang pemimpin dalam kerajaan.
Katanya, tidak patut ada pelantikan bertindih dalam portfolio
sensitif seperti timbalan perdana menteri juga dilantik menteri dalam
negeri dan perdana menteri berperanan sebagai menteri kewangan.
Dalam manifestonya, PH berjanji menghapuskan cukai barangan dan
perkhidmatan (GST), memperkenalkan subsidi minyak bersasaran,
menghapuskan hutang peneroka Felda, membolehkan suri rumah mencarum
dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Menyamaratakan gaji
minimum.
Ia juga bertekad mengembalikan status Sabah dan Sarawak seperti
termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963, menangguhkan pembayaran balik
hutang PTPTN bagi peminjam berpendapatan kurang RM4,000 sebulan, skim
“penjagaan kesihatan” untuk semua, serta penyiasatan terbuka ke atas
skandal yang berlaku dan kajian semula projek mega.
No comments:
Post a Comment