Sunday, March 11, 2018

Pengasuh dari neraka terlepas hukuman penjara



Pengasuh dari neraka terlepas hukuman penjara
Rakaman CCTV jelas menunjukkan Elisa menendang mangsa.

TLAXCALA - MEXICO. Satu pasangan suami isteri berang selepas diberitahu polis bahawa pengasuh yang mendera bayi kembar mereka berusia 24 bulan terlepas tindakan undang-undang.

Polis berkata, mereka tidak mempunyai cukup bukti untuk mendakwa pengasuh terbabit, Elisa Villegas Sanchez atas pertuduhan mendera kanak-kanak meskipun rakaman CCTV jelas menunjukkan wanita itu mengasari kedua-dua mangsa.
Difahamkan, Elisa telah bekerja selama 10 tahun dengan keluarga berkenaan yang menetap di Tlaxcala.

Pasangan suami isteri itu sebelum ini telah menyebarkan beberapa rakaman video memaparkan Elisa dengan sengaja memukul anak mereka, dan klip terbaharu menunjukkan dia telah menendang salah seorang mangsa sehingga tersungkur di lantai.

Dalam satu lagi rakaman, Elisa turut dilihat memijak kembar malang terbabit.
Pihak berkuasa tempatan yang menyaksikan video tersebut bagaimanapun telah menasihatkan pasangan suami isteri itu, supaya tidak membuat aduan rasmi kerana menganggap ia sebagai kesalahan kecil.

Pada masa sama, Pejabat Peguam Negara meminta pasangan itu mengumpul lebih banyak bukti bagi membolehkan pertuduhan dibuat ke atas Elisa.
Selepas video tersebut tular di media sosial, Elisa dilaporkan mengugut untuk mencederakan majikannya.

Sementara itu, netizen yang bersimpati dengan nasib anak kecil terbabit menuntut supaya Elisa dibawa ke muka pengadilan. - The Sun

No comments:

Post a Comment