Sunday, March 25, 2018

Pakar ekonomi: Jual Prince Court bijak, Petronas tak pakar urus hospital

 
PETALING JAYA: Pakar ekonomi memuji tindakan Petronas menjual Prince Court Medical Centre (PCMC) kepada anak syarikat Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) kerana syarikat minyak negara itu tidak mempunyai kepakaran dalam pengurusan hospital atau perubatan.

Pensyarah Universiti Tun Abdul Razak, Prof Barjoyai Bardai ketika dihubungi FMT berkata, pengambilalihan PCMC juga memberi petunjuk kepada pasaran yang Petronas mahu menumpukan perhatian terhadap industri minyak dan gas.
Katanya, penjualan PCMC kepada Pulau Memutik Ventures Sdn Bhd (PMV) adalah langkah strategik kerana anak syarikat Khazanah itu turut memiliki IHH Healthcare Bhd, Universiti Perubatan Antarabangsa dan beberapa pusat kesihatan di India serta Filipina.

“Ini juga menunjukkan keyakinan pasaran terhadap kebolehan PMV dalam pengurusan dan memberikan servis perubatan bertaraf antarabangsa,” katanya sambil menambah pengambilalihan PCMC boleh meningkatkan imej PMV dalam bidang pengurusan hospital.

Beliau berkata, PMV juga mewakili pelabur Bumiputera dan negara tidak mengalami sebarang kerugian melalui pengambilalihan itu.
Barjoyai mengulas laporan PMV menandatangani perjanjian jual beli saham dengan unit Petronas, Petronas Hartabina Sdn Bhd, bagi membeli 100% kepentingan ekuiti syarikat itu.

Khamis lalu, Pengarah Urusan Khazanah, Tan Sri Azman Mokhtar dilaporkan berkata, Khazanah melalui PMV memiliki 40.91% saham dalam IHH Healthcare Bhd.

Katanya, Khazanah menyasarkan untuk meningkatkan PCMC menjadi hospital terkemuka yang menyediakan perkhidmatan kesihatan bertaraf dunia kepada pelancong perubatan dan IHH Healthcare juga akan berkongsi perkhidmatan sokongan serta inisiatif peningkatan operasi di PCMC.

Sementara itu, seorang lagi pakar ekonomi, Prof Hoo Kee Ping menyifatkan tindakan Petronas menjual PCMC kepada Khazanah adalah betul.
“Janganlah Petronas semua perniagaan nak buat. Dulu Hicom semua nak buat, Petronas pun semua nak buat…tak boleh.”

Beliau berkata, Petronas mempunyai “kepandaian” dan kehebatan tersendiri, tetapi bukannya dalam bidang perubatan berbanding Khazanah yang memiliki kelebihan dan pengalaman dalam menguruskan IHH Healthcare.

1 comment:

  1. This comment has been removed by a blog administrator.

    ReplyDelete