25/4/18
(Ubah saiz teks)
KUALA LUMPUR – Lembaga Tabung Haji (TH) telah mengenal pasti hampir
500,000 akaun pendeposit TH yang tidak melakukan sebarang transaksi
melebihi tujuh tahun berturut-turut.
“Ia membabitkan jumlah simpanan sebanyak RM62.8 juta. Semua akaun ini
akan diklasifikasikan sebagai ‘Akaun Tidak Aktif’ mulai 1 Jun 2018,”
menurut TH dalam sebuah kenyataan di sini hari ini.
TH menasihati pendeposit terbabit supaya mengaktifkan akaun
masing-masing dengan melakukan sekurang-kurangnya satu aktiviti
transaksi simpanan atau pengeluaran wang di mana-mana cawangan TH,
kaunter atau transaksi dalam talian rakan strategik TH-Bank Islam, Bank
Rakyat, Maybank, dan membuat urusan simpanan dengan pelbagai saluran
Ejen Kutipan TH sebelum 31 Mei 2018, di seluruh negara.
TH berkata ia akan memindahkan akaun-akaun yang masih tidak diaktifkan
ke dalam kumpulan ‘Akaun Tidak Aktif’ bermula 1 Jun 2018.
“Setiap tahun, TH sentiasa mengingatkan pendeposit untuk memastikan
status akaun sentiasa aktif, terkini dan mengemas kini data peribadi
agar kepentingan dan kebajikan para pendeposit sentiasa terjaga,” kata
TH.
Pengemaskinian maklumat pendeposit seperti alamat, nombor telefon dan
penamaan waris adalah untuk kebaikan pemilik akaun dan penting untuk
memudahkan TH menghubungi bakal-bakal haji atau waris untuk urusan surat
penghantaran tawaran haji dan pengurusan harta.
“Sekiranya TH tidak dapat menghubungi pendeposit, bakal-bakal haji
berkemungkinan akan terlepas giliran haji pada tahun berkenaan serta
perlu menunggu pada tahun yang seterusnya untuk mengerjakan ibadat
haji,” kata TH.
TH berkata pendeposit atau anak di bawah jagaan yang telah kehilangan
buku akaun, dipohon untuk datang ke mana-mana cawangan TH dengan membawa
kad pengenalan/sijil kelahiran bagi tujuan semakan, penggantian buku
baharu dan kemas kini maklumat.
“Untuk sebarang pertanyaan berkaitan akaun tidak aktif atau sebarang
perkhidmatan TH, orang ramai boleh menghubungi talian khidmat pelanggan
kami di 03-6207 1919,” kata TH. - Bernama
No comments:
Post a Comment