(Ubah saiz teks)
HULU LANGAT - “Johan telah pun membuat pengumuman, orang lain pun dah panggil saya sebagai pengkhianat!”
Itu luahan Timbalan Ketua Umno Bahagian Hulu Langat, Datuk Markiman
Kobiran berhubung dakwaan kononnya beliau akan bertanding sebagai calon
Pakatan Harapan mewakili Bersatu.
Markiman berkata, Ketua Umno Bahagian Hulu Langat, Datuk Johan Abdul
Aziz, tidak menghubunginya untuk menjelaskan perkara sebenar sebaliknya
membiarkan dakwaan tersebut terus tersebar.
“Dia (Johan) tidak menghubungi saya pun minta pengesahan, saya ini
timbalan dia, orang nombor dua, nombor telefon saya pun dia ada, malah
dia pun boleh WhatsApp saya, ini panggil pun tidak.. dia terus bantai
umum,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Menurutnya, sebelum Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan Calon BN
Selangor, Johan pernah menghubunginya untuk memaklumkan keputusan pucuk
pimpinan telah memilih calon BN untuk PRU14.
“Dia hanya maklumkan saya, siapa calon akan bertanding itu sahaja, saya
juga tidak dijemput bersama pada majlis itu di Shah Alam, ini bukan
soal saya terpinggir,” katanya.
Beliau berkata, setakat ini belum ada tawaran daripada mana-mana parti untuk beliau menjadi calon pada PRU14.
“Sehingga kini belum ada tawaran pun, saat ini saya masih lagi ahli Umno dan tidak berhasrat untuk keluar parti.
“Saya akan buat keputusan jika ada tawaran untuk terima atau tolak, tak
kan saya nak terima benda yang tidak pasti. Saya juga tidak akan
membuat tindakan melulu,” katanya.
Beliau turut mempersoalkan apakah salah tindakannya berjumpa dengan rakan politik dari parti lain.
“Ada seorang menteri buat majlis perkahwinan anaknya, Menteri Besar
Selangor Mohamed Azmin Ali turut hadir, salah ke? Masa saya buat majlis
perkahwinan anak saya pula Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Mukhriz
Mahathir juga turut hadir. Silaturahim putus ke kerana parti dan
politik?” soalnya.
Markiman adalah bekas Ahli Parlimen Hulu Langat setelah menang PRU
2004, namun beliau tewas dalam PRU 2008 ketika bertembung dengan calon
Pas, Dr Che Rosli Che Mat.
No comments:
Post a Comment