Sunday, May 20, 2018

Anwar minta Najib cari peguam terbaik

Sinar Harian
Anwar minta Najib cari peguam terbaik
Anwar
(Ubah saiz teks)
JAKARTA - INDONESIA. Ketua Umum Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, siasatan terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung kes SRC International Sdn Bhd, akan dilakukan secara adil dan bebas.

Anwar meminta semua pihak tidak menjatuhkan hukuman terhadap bekas perdana menteri itu sebelum siasatan rapi dan pelaksanaan undang-undang dipatuhi sepenuhnya.

Namun nasihatnya kepada Najib: "Kepada beliau (Najib) nasihat saya, cari peguam bela yang baik," kata Anwar selepas mengadakan pertemuan  dengan bekas Presiden Indonesia Bacharuddin Jusuf Habibie, bersempena sambutan 20 tahun reformasi Indonesia di sini, hari ini.

Anwar yang mendapat pengampunan daripada Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V pada 16 Mei lepas, berharap apa jua siasatan terhadap Najib akan dilakukan secara adil dan bebas.

Pengampunan penuh Anwar dibentang dan dipertimbangkan dalam mesyuarat Lembaga Pengampunan bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya dan selaras dengan Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.

Anwar, 71, menjalani hukuman lima tahun penjara pada Februari 2015 selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan bersalah atas sabitan meliwat.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) Datuk Seri Azam Baki sebelum ini berkata, Najib dikehendaki hadir ke ibu pejabat suruhanjaya itu di Putrajaya pada Selasa ini bagi membantu siasatan SPRM melibatkan kes SRC International Sdn Bhd.

SRC International ialah anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB), sehingga ia diletakkan di bawah Kementerian Kewangan pada 2012.
Pada 26 Januari 2016, media melaporkan, Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali mengesahkan tiada kesalahan jenayah dilakukan Najib berkaitan kes melibatkan dana RM2.6 bilion dan SRC International. - Bernama

1 comment:

  1. sebaik dsai dn nurul jgn tunjuk simpati pd najib. yg perlu ditunjuk adalah kita akn adili dia demi rakyat.

    tkde sapa akn kata dsai dendam pd najib. apa yg dilihat mestilah keadilan dn hukuman wajar mesti diberi kpd pesalah demi kebaikan negara.

    simpatilah kpd najib dgn memberi keadilan undang2 dn hukuman jika bersalah. rakyat merasa lega dn bersyukur jika penyamun dihukum. insyaallah aamiiin

    ReplyDelete