Datuk Ismail Kassim melihat tiada keperluan untuk mengadakan pilihan
raya kecil untuk negeri (PRN) Perlis kerana ia hanya menyumbang kepada
pembaziran.
Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tambun Tulang itu berkata
demikian mengulas kenyataan Mufti Perlis Datuk Dr Asri Zainul Abidin
berkaitan krisis yang melanda negeri tersebut.
“Kalau kita adakan PRN ia satu lagi pembaziran wang rakyat yang
melibatkan puluhan dan ratusan juta, mana kita nak cari wang sedangkan
negara perlu jimat.
“Kita nak selesaikan apa yang ada sekarang dengan bijaksana. Semua
pihak kena berlapang dada, terbuka panggil berbincang dan kena ada satu
jalan penyelesaian,” katanya kepada pemberita di luar balai polis Jalan
Eusoff, Kuala Lumpur hari ini.
Asri melalui kenyataannya hari ini berpendapat Perlis harus mengadakan pilihan raya semula susulan krisis menteri besar yang sedang melanda.
Menulis di Facebook, Asri berkata jika pilihan raya raya baru dibuat, boleh membuka kemungkinan baru.
Semalam, kesemua ADUN BN Perlis memulaukan istiadat angkat sumpah
Menteri Besar Azlan Man kerana mahukan Ismail, adik pengerusi BN Perlis
Datuk Seri Shahidan dilantik ke jawatan itu.
Tindakan itu menyebabkan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail murka.
Baginda bertitah tidak mahu seorang menteri besar boneka. Ismail
menafikan perkara itu dan mencadangkan nama lain selain beliau dan
Azlan.
ADUN BN tak sokong Azlan
Shahidan mendakwa kesemua sembilan ADUN BN tidak menyokong Azlan,
sekali gus bermakna mereka memperoleh majoriti penentu dalam dewan
negeri.
Termasuk Azlan, BN mempunyai sepuluh kerusi manakala lima lagi milik pembangkang.
Sementara itu, Ismail meminta Asri supaya menasihati semua pihak
termasuk Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin berkaitan situasi sebenar
yang berlaku terhadap mereka.
“Suruh dia (Asri) nasihat baik-baik la, saya nasihatkan Datuk Asri
sebagai ulama yang dihormati boleh bagi nasihat terutamanya kepada
rakan-rakan termasuk Duli Yang Maha Mulia Tuanku sendiri tentang keadaan
sebenar di Perlis,” katanya.
Malaysiakini
No comments:
Post a Comment