Kerajaan rugi dalam jumlah yang besar sekiranya projek Kereta Api
Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR) dibatalkan, kata Perdana
Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
Justeru, katanya, kerajaan sedang mempertimbangkan cara bagi
mengurangkan pampasan yang perlu dibayar kepada Singapura sekiranya
projek itu akhirnya dibatalkan.
"Syarat dan perjanjian untuk HSR adalah antaranya jika kita
membatalkan projek itu, kita perlu membayar pampasan yang tinggi. Kita
sudah ada perjanjian dengan Singapura. Sekiranya kita langgar perjanjian
itu, kita perlu bayar dalam jumlah yang besar," kata Dr Mahathir
dipetik The Edge.
Projek HSR yang bernilai RM100 bilion merupakan salah satu projek
mega di bawah bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak yang kini
sedang diteliti semula oleh kerajaan.
Satu lagi projek mega lain yang sedang diteliti adalah projek Laluan Kereta Api Pantai Timur (ECRL).
Dr Mahathir berkata, tindakan Najib untuk melaksanakan dua projek mega serentak adalah langkah yang 'gila'.
"Dia macam tak fikir bagaimana kita akan bayar semua projek ini.
"Dia tahu ECRL, misalnya, adalah sesuatu yang kita tidak mampu. Ia
tidak akan memberi banyak manfaat. Ia tidak akan memberi pulangan. Tapi
dia teruskan juga dan buat keputusan untuk bina," kata Dr Mahathir.
Perdana menteri berkata kontrak ECRL 'pelik' kerana Malaysia perlu
mendanai projek dengan meminjam dari China dan dalam masa sama mengupah
kontraktor dari negara itu.
Meskipun ECRL mempunyai kemungkinan akan dibatalkan, pentadbiran
kerajaan di bawah Dr Mahathir dilihat tidak menjarakkan diri daripada
China.
South China Morning Post melaporkan memo dalaman daripada dr
Mahathir kepada Setiausaha Menteri Luar Datuk Ramlan Ibrahim berkata
"hubungan rapat kita dengan China akan terus berkembang".
Malaysiakini
No comments:
Post a Comment