(Ubah saiz teks)
SHAH ALAM - Centre for Malaysian Political And Economic Transcendence
(Competent) menggesa Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu menyiasat lima
skandal dalam kementerian itu ketika era pemerintahan BN.
Ketua Eksekutif Competent, Wan Anwar Wan Ibrahim mahu Mohamad menyiasat
pembaziran dan salah guna kuasa melibatkan pebelian aset Angkatan
Tentera Malaysia (ATM).
Beliau berkata, pelantikan Mohamad sebagai Menteri Pertahanan adalah
keputusan tepat sebagai kerana beliau lantang mempersoalkan salah laku
dan pembaziran ketika pemerintahan kerajaan BN sebelum ini.
"Kami mahu menteri pertahanan membuka kembali fail siasatan kes
pembelian beberapa unit Rapid Intervention Vehicle (RIV) yang pernah
mendapat perhatian Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar selepas
menegur harganya yang terlalu mahal.
"Harga yang dilaporkan adalah RM690,000 seunit, sedangkan baginda
sultan pernah membelinya pada harga RM150,000 sahaja. Datuk Seri Ahmad
Zahid Hamidi selaku menteri pertahanan ketika itu berjanji akan membuka
kertas siasatan namun sehingga kini kes itu senyap," katanya dalam satu
artikel, hari ini.
Beliau menambah, pembelian 257 unit Armored Personnel Vehicle daripada
syarikat Turki berharga RM7.5 bilion juga perlu diberikan perhatian.
"Harga tersebut dikatakan naik mendadak daripada harga asal RM1.76
bilion seperti dilaporkan akhbar Turki sewaktu perjanjian ditandatangani
pada 2011.
"Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara ketika itu, Tony Pua pernah
mempersoalkan perkara ini di Parlimen namun tidak dijawab oleh menteri
pertahanan," katanya.
Selain itu, beliau juga menggesa Kementerian Pertahanan mengkaji semula
polisi komisen melampau kepada syarikat broker yang berurusan dalam
pembelian aset ATM.
"Perkara ini menjadi buah mulut rakyat apabila Perimekar Sdn Bhd milik
Razak Baginda yang juga sahabat kepada bekas perdana menteri Datuk Seri
Najib Razak mendapat habuan RM535 juta mengikut kadar hari ini dalam
proses pembelian dua kapal selam Scorpene.
"Skandal ini menjadi lebih hangat lagi apabila Razak Baginda dikaitkan
dengan kematian model Mongolia Altantuya Shaaribuu yang masih menjadi
misteri sehingga kini," katanya.
Wan Anwar turut mendesak pembekal atau kontraktor kepada Kementerian
Pertahanan yang pernah terlibat dengan projek sakit disenarai hitam dan
disaman kerana kerugian yang ditanggung.
"Contohnya, projek pembinaan 27 unit Patrol Vessels berharga hampir RM1
bilion seunit yang gagal disempurnakan mengikut jadual oleh syarikat
PSC-Naval Dockyard.
"Syarikat ini dimiliki Tan Sri Amin Shah yang diketahui sebagai kroni
besar Umno-BN. Syarikat hak milik Lembaga Tabung Angkatan Tentera
(LTAT), Boustead Holdings, akhirnya terpaksa mengambil alih PSC-Naval
Dockyard untuk memastikan kelancaran projek tersebut," katanya.
Mengulas lanjut, beliau mendakwa, negara juga mengalami kerugian besar
apabila projek pembinaan Pusat Pengajian Pertahanan Nasional
(Puspahanas) bernilai RM100 juta diberikan kepada syarikat yang langsung
tiada pengalaman dalam bidang pembinaan.
"Skandal ini hangat diperkatakan apabila didedahkan oleh Deepak
Jaikishan (rakan karib Datin Seri Rosmah Mansor) yang marah kerana Raja
Ropiaah dikatakan gagal menunaikan perjanjian kepada Deepak sebagai
timbal balik untuk Deepak membantu dalam projek pembinaan Puspahanas
tersebut.
"Sekali lagi, anak syarikat LTAT terpaksa mengambil alih projek sakit
milik kroni Umno-BN untuk memastikan kelancaran projek," katanya.
Justeru, beliau berharap, satu tadbir urus yang cekap dan berhemah
berdasarkan kepada kaedah-kaedah terbaik dapat dijadikan amalan di
Kementerian Pertahanan dan aset-aset yang terbaik turut dapat disediakan
dan diselenggara untuk kegunaan perwira-perwira negara dalam angkatan
tentera.
No comments:
Post a Comment