Semakin ramai di kalangan Umno menyatakan cadangan untuk Datuk Seri
Ahmad Zahid Hamidi tidak bertanding bagi jawatan presiden dalam
pemilihan parti itu dan memberi laluan kepada Tengku Razaleigh Hamzah.
Terbaru, Setiausaha Kelab Veteran Umno Malaysia Datuk Mustapha Yaakub
berkongsi gesaan itu dan menyarankan agar Ahmad Zahid sekadar
bertanding untuk jawatan timbalan presiden.
"Sekarang kita (Umno) mengalami krisis keyakinan dari kalangan
anggota. Kami dari kalangan veteran melihat 'bomoh' atau 'doktor luar'
paling mujarab untuk memulihkan Umno adalah Tengku Razaleigh.
"Beliau (Tengku Razaleigh) patut jadi presiden dan Ahmad Zahid jadi pemimpin nombor dua sebagai timbalan," katanya kepada Malaysiakini selepas sidang media di kediaman Tengku Razaleigh di Jalan Langgak Golf, Kuala Lumpur.
Dalam sidang media itu, yang diadakan sehari sebelum tarikh
pencalonan pemilihan Umno tamat, Tengku Razaleigh atau dikenali sebagai
Ku Li akhirnya mengumumkan akan bertanding jawatan presiden.
Mustapha antara yang hadir memberikan sokongan kepada Ku Li, selain
calon naib presiden Umno Datuk Seri Johari Abdul Ghani dan bekas menteri
besar Johor Datuk Seri Khaled Nordin.
Ibarat gandingan Dr M-Anwar
Jelas Mustapha, Ku Li calon paling sesuai menerajui Umno kerana
mempunyai pengalaman yang luas, namun menegaskan bahawa ahli politik
veteran itu tetap memerlukan sokongan anggota parti.
Tambahnya, Ahmad Zahid bukan calon yang sesuai untuk memulihkan
keyakinan anggota parti walaupun pemangku presiden Umno itu antara
pemimpin BN yang berjaya mempertahankan kerusi dalam pilihan raya umum
yang lalu.
"Walaupun (ramai pemimpin) Umno menang berbanding komponen BN yang lain, banyak orang salahkan Umno.
"Bukan bermakna Ahmad Zahid kurang (berkemampuan), cuma kita mahukan
pasukan yang baik yang terdiri daripada Ahmad Zahid (sebagai timbalan
presiden) dan Ku Li (sebagai presiden)," katanya yang mengakui gandingan
itu ibarat gandingan Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar
Ibrahim.
Menyifatkan Ahmad Zahid sebagai pemimpin yang bijaksana, Mustapha
yakin anggota parlimen Bagan Datoh itu akan mempertimbangkan cadangan
untuk tidak bertanding jawatan nombor satu Umno.
"Ahmad Zahid seorang pemimpin yang bijaksana, saya yakin dia akan pertimbangkan hasrat orang ramai," katanya.
Setakat ini, masing-masing Ku Li dan Ahmad Zahid sudah mengesahkan
akan bertanding jawatan presiden Umno dalam pemilihan parti itu 30 Jun
depan.
Menang tanpa bertanding
Selain Mustapha, Pengerusi Veteran Umno Kelantan, Datuk Mohd Rozali
Isohak turut berkongs pandangan agar Ahmad Zahid sekadar bertanding
jawatan timbalan presiden.
Namun, beliau mencadangkan agar Ahmad Zahid diberi kemenangan tanpa bertanding bagi jawatan itu.
Langkah itu, menurutnya, bagi melihat gandingan Ahmad Zahid dan Ku Li menerajui Umno.
"Kita juga mahu Ahmad Zahid diberi kemenangan tanpa bertanding untuk
jawatan timbalan presiden supaya beliau menjadi satu pasukan dengan Ku
Li," katanya seperti dilapor media.
Selain itu, Mohd Rozali turut mencadangkan agar Ketua Penerangan Umno
Tan Sri Annuar Musa dan bekas menteri besar Negeri Sembilan Datuk Seri
Mohamad Hasan diberikan jawatan naib presiden.
Kedua-dua pemimpin Umno itu sebelum ini telah mengesahkan akan berebut jawatan timbalan presiden.
"Apapun, kita serah kepada ahli untuk menentukannya, namun jika
boleh, elakkan pertandingan jawatan tertinggi supaya dapat mengelakkan
perpecahan," katanya.
Sebelum ini, Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin Abu Bakar telah mengesahkan akan bertanding jawatan naib presiden.
Untuk rekod, Umno memperuntukkan tiga wakil untuk memegang jawatan naib presiden pada satu-satu penggal
Pencalonan untuk pemilihan Umno ditutup pada 17 Jun ini dan pengundian akan berlangsung pada 30 Jun 2018
Malaysiakini
No comments:
Post a Comment