Friday, June 22, 2018

Rais calon speaker Dewan Rakyat, Yeoh timbalan

22/6/18

Bekas menteri kanan Tan Sri Dr Rais Yatim dan bekas speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor Hannah Yeoh sedang dipertimbangkan masing-masing untuk menduduki kerusi Yang Dipertua dan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, kata sumber dalaman kerajaan.

Sementara itu Presiden Persatuan Kebangsaan Hak Asasi Manusia (HAKAM) Ambiga Sreenevasan menafikan namanya turut dipertimbangkan bagi kerusi berkenaan.

"Tidak. Saya bukan calon untuk speaker (Dewan Rakyat)," katanya kepada Malaysiakini Whatsapp melalui mesej WhatsApp.

Bekas pengerusi BERSIH itu berkata demikian sebagai mengulas laporan The Star yang mendakwa Ambiga adalah calon utama untuk dicadangkan sebagai speaker Dewan Rakyat berdasarkan pengalamannya sebagai peguam kanan serta presiden Majlis Peguam.

Dalam temu bual bersama The Star, Rais pernah ditanya sama ada namanya dipertimbangkan sebagai speaker Dewan Rakyat.

Rais kemudian menjawab: "Saya tidak fikir begitu."

Sementara itu New Straits Times (NST) melaporkan, mungkin berlaku pertentangan pendapat di kalangan parti Pakatan Harapan (HARAPAN) berhubung isu berkenaan.

Bekas speaker DUN

Memetik sumber yang tidak didedahkan, NST mendakwa Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mahu Rais - yang memiliki ijazah doktor falsafah (PhD) dalam bidang undang-undang - dilantik sebagai speaker.

Pemimpin lain pula, dakwa akhbar berkenaan, lebih cenderung untuk mencalonkan Yeoh.

Untuk rekod, Rais pernah dilantik berkhidmat sebagai menteri di bawah Dr Mahathir sebelum memilih untuk berpihak kepada Team B semasa Tengku Razaleigh Hamzah mahu merebut jawatan presiden Umno.

Apabila Parti Melayu Semangat 46 ditubuhkan, Rais dilantik menjadi timbalan presiden. Selepas parti itu gagal memberi kesan yang besar kepada politik nasional, Rais melanjutkan pengajian ke di King's Collage di London dan mendapat PhD pada 1995.

Apabila Tun Abdullah Ahmad Badawi menjadi perdana menteri, Rais sekali lagi dilantik menjadi menteri.

Jawatan terakhir Rais sebelum ini ialah penasihat sosiobudaya kepada kerajaan sebelum beliau bersuara lantang mengkritik dasar Datuk Seri Najib Razak.

Bekas menteri besar Negeri Sembilan itu menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) awal bulan ini.

Sementara itu, Yeoh, 39, ialah speaker DUN Selangor sebelum DAP memindahkannya untuk bertanding di kerusi parlimen pada PRU ke-14 lalu.

Ketika ini Yeoh ialah anggota parlimen Segambut.

Menurut perlembagaan jawatan speaker Dewan Rakyat boleh diisi oleh anggota parlimen sendiri, atau tokoh lain yang mempunyai kelayakan sebagai Yang Dipertua.

Bagaimanapun bagi jawatan timbalan, tokoh yang dipilih mestilah di kalangan anggota parlimen.

Dewan Rakyat dijangka mula bersidang pada 16 Julai ini.
Malaysiakini

No comments:

Post a Comment