Monday, July 23, 2018

Laporan: Jho Low mungkin ‘ghaib’, tapi terlibat dengan 2 syarikat Hong Kong

 | July 23, 2018
SCMP melaporkan Low menandatangani 2 dokumen pada 9 Julai untuk menukar setiausaha 2 syarikat, sementara adik beliau memohon menukar nama syarikat berkenaan.
Beliau dilaporkan meninggalkan Hong Kong menuju Macau sebelum melarikan diri ke China, walaupun pihak berkuasa negara itu enggan memberi komen berhubung dakwaan tersebut. (Gambar AFP)

PETALING JAYA: Ahli perniagaan Low Tek Jho mungkin melarikan diri daripada pihak berkuasa yang mahu menahannya berhubung skandal 1MDB, tetapi beliau juga “terlibat aktif” dalam urusan 2 syarikat yang berpangkalan di Hong Kong sebagai ketua pegawai eksekutif (CEO) dan pengarahnya, menurut laporan akhbar South China Morning Post (SCMP).

Menurut SCMP, Low disenaraikan sebagai CEO sebuah syarikat ekuiti persendirian, Jynwel Capital dan pengarah badan bukan perniagaan, Jynwel Charitable Foundation.

Memetik dokumen dari Pendaftar Syarikat Hong Kong, laporan itu menyebut, Low atau lebih dikenali sebagai Jho Low, menandatangani 2 dokumen pada 9 Julai untuk menukar setiausaha bagi 2 syarikat itu.
Sebelum ini ia adalah B & McK Nominees, anak syarikat firma guaman AS Baker McKenzie, tetapi Low menukarnya kepada KV Pro Services di Mong Kok.

Walaupun Low dipercayai berada di Hong Kong sebelum melarikan diri ke Macau, laporan itu menyebut tidak diketahui sama ada ahli perniagaan itu hadir sendiri untuk menandatangani dokumen terbabit.

Sementara itu, adik Low, Low Taek Szen, yang dipercayai merupakan pengarah urusan Jynwel Capital, membuat permohonan kepada Pendaftar Syarikat untuk mengubah nama firma tersebut kepada Quinton Investments.

Beliau juga memohon menukar nama Jynwel Charitable Foundation kepada Quantima Charitable Foundation, kata laporan itu lagi.
Low didakwa melakukan korupsi, rasuah dan pengubahan wang oleh beberapa badan penguatkuasaan undang-undang di beberapa negara berkait dengan skandal kewangan 1MDB.

Beliau dilaporkan meninggalkan Hong Kong menuju Macau sebelum melarikan diri ke China, walaupun pihak berkuasa negara itu enggan memberi komen berhubung dakwaan tersebut.

Pada Jun lepas, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melakukan serbuan ke atas apartmennya di Jalan Kia Peng, Kuala Lumpur, sementara Jabatan Imigresen membatalkan pasport antarabangsa beliau atas permintaan SPRM.

Menurut saman Jabatan Kehakiman AS (DOJ), Low bagaimanapun dipercayai memiliki pasport lain daripada St Kitts dan Nevis di kepulauan West Indies.
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata minggu lepas, pihak berkuasa Malaysia tidak tahu sama ada Low telah ditahan, dan menambah ahli perniagaan itu “bergerak dari satu tempat ke tempat lain tanpa ditangkap”.

Rakan kongsi Low, Seet Li Lin, yang disebut sebagai watak utama dalam saman DOJ, disenaraikan sebagai penyelia sebuah firma perunding perniagaan berpangkalan di Shanghai yang dimiliki oleh Jynwel Capital, menurut laporan itu lagi.

Ia memetik sumber sebagai berkata, Jynwel Capital baru-baru ini cuba membatalkan pendaftaran syarikat itu yang ditubuhkan 2 tahun lepas.
Seet dikatakan menghadiri Wharton Business School bersama-sama Low, dan dilaporkan bekerja dengan Jynwel Capital dari November 2012 hingga April 2017 mengendalikan urus niaga berkaitan sekuriti.

No comments:

Post a Comment