Saturday, July 7, 2018

'Tak wajar mahkamah pertahan pemilihan hakim dalam kes Najib'

 
   
Peguam Lawyers For Liberty (LFL) mempersoalkan keperluan Mahkamah Persekutuan secara tergesa-gesa "mempertahankan" pemilihan Datuk Mohd Sophian Abdul Razak sebagai hakim dalam kes melibatkan bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Penasihat LFL, N Surendran berkata adalah tidak sesuai bagi ketua hakim negara atau pendaftar mahkamah bertindak di bawah arahan ketua hakim negara dengan mengeluarkan kenyataan sedemikian.

Surendran merujuk kenyataan ketua pendaftar Mahkamah Persekutuan semalam, yang mengatakan pemilihan Sophian dibuat secara rawak bagi mengadili kes jenayah melibatkan bekas perdana menteri.

Pemilihan Sophian sebagai hakim kes itu bertukar menjadi kontroversi apabila beliau didedahkan merupakan adik kepada seorang ADUN Umno Pahang yang juga anggota exco kerajaan negeri selama empat penggal.

"Kami terkejut dengan keputusan Mahkamah Persekutuan mengeluarkan kenyataan umum berhubung perkara ini. Adalah tidak sesuai untuk Ketua Hakim atau pendaftarnya untuk mengeluarkan kenyataan sedemikian.
"Kenapa Mahkamah Persekutuan atau ketua hakim terburu-buru mempertahankan pemilihan hakim Sophian untuk mengadili kes itu?" kata Surendran dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, sehingga pihak pendakwaan atau peguam bela membangkitkan aduan atau memohon hakim disingkirkan, tidak ada sebab mengapa ketua hakim atau pegawai Mahkamah Persekutuan harus mempamerkan sensitiviti keterlaluan terhadap kritikan awam.

Ketua pendakwa raya yang juga peguam negara, Tommy Thomas sebelum ini mendakwa beliau tidak tahu mengenai perkara itu sebelum kes dibawa ke mahkamah.

Sementara itu, Presiden Badan Peguam Malaysia, George Varughese meminta Sophian agar menarik diri daripada mengadili kes itu.
Sehubungan itu, Surendran berkata hakim tidak perlu menunggu mana-mana pihak memfailkan permohonan sebelum membuat keputusan untuk menarik diri daripada kes itu.
Malaysiakini

No comments:

Post a Comment